Perak belum terima baki dos vaksin - Utusan Malaysia

Perak belum terima baki dos vaksin

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kerajaan negeri masih belum memperoleh baki dos vaksin Covid-19 sebanyak 250,569 yang sepatutnya diterima pada hujung bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kekurangan bekalan vaksin itu menyebabkan terdapat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpaksa memperlahankan operasi.

“Sepatutnya dapat pada hujung bulan ini, maknanya minggu ini, tapi saya fikir tidak sepenuhnya (kuota dos vaksin) kita akan dapat.

“Jika terima sepenuhnya, maka, semua PPV di seluruh negeri akan berfungsi, tetapi, sekarang, ada PPV yang memperlahankan tugas ekoran kekurangan bekalan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Penyerahan Bantuan Makanan Nelayan Darat Daerah Lenggong anjuran Jabatan Perikanan Perak di Pusat Pekasam Negara di sini hari ini.

Menerusi laporan media pada 28 Julai lalu, Saarani memberitahu, bekalan vaksin untuk negeri ini yang dijadualkan pada Julai adalah sebanyak 688,760 dos dan setakat Isnin lepas, sebanyak 438,191 dos baharu diterima manakala baki 250,569 lagi dijangka diterima pada akhir minggu ini.

Sementara itu mengulas mengenai bantuan kotak makanan kepada nelayan darat, beliau berkata, seramai 700 nelayan darat di negeri ini menerima manfaat tersebut.

Katanya, penerima bantuan itu merupakan golongan nelayan darat yang tersenarai sebagai penerima bantuan elaun sara hidup serta bergantung sepenuhnya kepada tangkapan harian untuk menyara keluarga masing-masing.

“Sasaran bantuan ini juga kepada keluarga nelayan darat yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan aktiviti mereka mencari rezeki dengan menangkap ikan di sungai dan tasik selain tidak dapat menjalankan kerja sampingan seperti kerja-kerja kampung.

“Kotak bantuan makanan ini akan diedarkan kepada nelayan darat yang berkelayakan oleh Jabatan Perikanan Perak dengan bantuan daripada pejabat daerah dan pemimpin komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak Februari hingga Julai ini, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM68.1 juta bagi menangani wabak Covid-19.

“Perbelanjaan itu meliputi RM46.2 juta dalam bentuk bantuan dan inisiatif seperti edaran kotak makanan, keperluan untuk petugas barisan hadapan dan di PPV manakala RM21.9 juta pula menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri (PREN),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya