Pengusaha kraf tukar bidang jual makanan - Utusan Malaysia

Pengusaha kraf tukar bidang jual makanan

NURSHUHADA Yaacob menunjukkan set Nasi Buluh Ayam Tulang Rapuh jualannya ketika ditemui Utusan Malaysia di KewBuluh Cafe, Jalan Batu 8, Telok Kemang, Port Dickson, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penularan pandemik Covid-19 ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada sektor pelancongan di pantai peranginan di daerah ini.

Tempiasnya juga menimpa kepada pengusaha-pengusaha kedai cenderamata, kraftangan dan pakaian di sekitar pantai Telok Kemang di sini yang sememangnya bergantung kepada kehadiran pelancong di situ sebagai pelanggan mereka.

Menyedari penularan Covid-19 mungkin mengambil masa untuk pulih, salah seorang pengusaha peniaga kraftangan dan pakaian, Nurshuhada Yaacob, 37, mengambil keputusan untuk menukar bidang perniagaannya.

Dia kini mengusahakan kedai makanan yang diberi nama Nasi Buluh Ayam Tulang Rapuh yang terletak di Jalan Batu 8, Telok Kemang dekat sini.

Menurutnya, perniagaannya itu kini menjadi penyambung pendapatannya selepas terjejas teruk dengan perniagaan kraftangan yang diusahakannya sebelum ini ekoran tiada aktiviti pelancongan di sini.

“Saya antara peniaga yang terkesan dengan PKP, perniagaan kraftangan yang saya usahakan selama tujuh tahun itu terpaksa ditutup kerana tiada pelancong  yang datang ke Port Dickson. Jadi, saya mengambil keputusan untuk membuka perniagaan makanan nasi ayam tulang rapuh yang disajikan di dalam buluh.

“Selepas tiga bulan menjalankan perniagaan ini, Alhamdulillah, sambutan amat baik daripada penduduk setempat dan itu yang menaikkan semangat saya. Kebanyakan pelanggan saya merupakan pekerja termasuk penjawat awam di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Nurshuhada berkata, idea membuka kedai yang diberi nama Kewbuluh itu selepas dia pernah mencuba keunikan rasa ayam tulang rapuh ketika melancong ke Bali, Indonesia pada 206.

“Ketika itu saya rasanya sangat unik dan sedap jadi saya mahu berkongsikan pula dengan pelanggan di sini. Saya pernah mendapat jualan hampir 170 pek nasi sehari dan berharap ia akan meningkat dari sehari ke sehari,” katanya lagi yang turut menawarkan pelbagai lagi menu jualan seperti set nasi bersama kari kambung dan set nasi bersama daging masak asam pedas.

Jelasnya lagi, dia juga yang menggunakan akaun Facebook, Kewbuluh Cafe bagi mempromosikan jualannya selain turut menyediakan perkhidmatan penghantaran di sekitar Port Dickson.

“Bagi menghargai dan menarik pelanggan, kami juga menawarkan cabutan bertuah dengan tawaran hadiah yang menarik seperti telefon bimbit, periuk nasi dan kipas selain hamper,” katanya yang turut menjual pencuci mulut seperti kek. –  UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya