ALOR GAJAH: Seorang ibu kepada enam cahaya mata buntu memikirkan nasib dirinya selepas diberikan cuti tanpa gaji dan tiada lagi elaun kerja lebih masa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Roszana Harun, 36, berkata, meskipun masih bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam di Durian Tunggal di sini, pendapatannya terjejas teruk apabila pihak pengurusan mula melaksanakan polisi 60 peratus tenaga kerja pada satu-satu masa bermula awal bulan ini.
Katanya, sebelum ini, pendapatan bersihnya sekitar RM850 sebulan, tetapi, jumlah itu dijangka berkurangan susulan pelaksanaan polisi baharu itu.
“Penggiliran kerja menyebabkan gaji pokok saya juga dipotong. Cuti pula tanpa gaji dan elaun kerja lebih masa yang selama ini membantu menambah pendapatan bulanan juga sudah tiada lagi.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sangat memberi kesan kepada kilang dan para pekerja turut menerima tempiasnya,” katanya ketika ditemui pada Program Bantuan dan Sumbangan PKP 3.0 Parlimen Alor Gajah.
Bantuan tersebut dimanfaatkan 69 isi rumah sekitar Kampung Bukit Tambun di sini.
Tambah Roszana, dia bersyukur dan lega apabila namanya tersenarai sebagai penerima.
“Bantuan kit makanan dan keperluan harian ini sekurang-sekurangnya dapat meringankan beban saya dalam menyediakan keperluan asas untuk anak-anak yang masih kecil dan bersekolah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penerima yang juga warga emas, Mustamam Abdul Rahman, 76, mengakui, bantuan yang diterimanya memberikan penjimatan dalam perbelanjaan bulanannya.
“Kit makanan yang ada bolehlah buat tambah-tambah apa yang patut selain daripada wang yang diterima daripada anak-anak.

“Saya pun tiada pendapatan tetap dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof kerana prihatin kesusahan orang ramai,” katanya.- UTUSAN ONLINE.










