Penduduk mahu tindakan tegas terhadap warga asing besar kepala - Utusan Malaysia

Penduduk mahu tindakan tegas terhadap warga asing besar kepala

MOHD. ARIFF HAFIZAL MOHD. FADZLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Penduduk tempatan menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana warga asing yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ketika ini.

Gesaan itu dibuat penduduk kerana segelintir warga asing yang menetap di Pasir Gudang terutamanya yang bekerja di kawasan perindustrian di sini didapati bersikap sambil lewa kerana dikhuatiri kurangnya pemantauan oleh pihak berwajib.

Seorang suri rumah, Norhanis Mohammad, 35, memberitahu, pastinya bukan semua warga asing bertindak sedemikian namun tidak dapat dinafikan sebilangan daripada mereka seperti tidak takut dengan undang-undang.

“Kami yang merupakan warganegara sendiri lebih patuh dengan pelbagai SOP ditetapkan kerajaan seperti tidak boleh berkumpul beramai-ramai di luar rumah, sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak antara satu sama lain.

“Tetapi boleh pula warga asing dilihat berkumpul sesama mereka, berbual secara berkumpulan dan rapat.

“Anehnya jarang pula kita dengar warga asing dikenakan kompaun kerana melanggar SOP. Jadi saya berharap kerajaan dapat memastikan warga asing turut dikenakan undang-undang sama seperti warganegara,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan segelintir warga asing di negara ini seolah-olah ‘besar kepala’ apabila dilihat tidak patuh terhadap SOP ditetapkan kerajaan dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

Seorang lagi penduduk Pasir Gudang, Mohd. Ariff Hafizal Mohd. Fadzli, 29, pula berkata, perkara itu tidak sukar untuk dikesan sekiranya pihak berkuasa benar-benar mahu memastikan SOP dipatuhi termasuklah oleh warga asing.

“Sebagai contoh, di kawasan Pasir Gudang banyak kedai runcit yang diuruskan pekerja asing dan kadangkala mereka boleh dilihat tidak memakai topeng pelitup muka ketika berurusan dengan pelanggan.

“Bukankah SOP itu dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, jadi mengapa ianya tidak dikuatkuasakan termasuklah di premis-premis perniagaan.

“Kami sebagai penduduk bukan mahu mencari kesalahan sesiapa tetapi banyak laporan penduduk tempatan dikompaun kerana tidak ‘scan’ MySejahtera, tidak pakai pelitup muka, tetapi jarang kita dengar warga asing dikompaun atas kesalahan sama,” ujarnya.

Tambah Mohd. Ariff Hafizal, dia berharap semua pihak sama ada warga tempatan mahupun warga asing dapat sama-sama mematuhi SOP ditetapkan kerana wabak Covid-19 tidak mengira warganegara dan akan menjejaskan kesihatan semua pihak yang cuai. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN