PASIR GUDANG: Menyedari ramai individu dalam kalangan B40 kini berdepan tekanan hidup akibat pandemik Covid-19, sekumpulan penduduk di Rumah Pangsa Taman Air Biru di sini mengambil inisiatif mewujudkan Gerobok Prihatin.
Inisiatif itu dilakukan mereka sebagai pusat pengumpulan makanan untuk membantu keluarga yang terputus bekalan makanan, walaupun mereka sendiri terdiri dalam golongan B40.
Usaha murni itu dimulakan sejak seminggu lalu hasil keprihatinan penduduk setempat membantu penghuni rumah pangsa itu yang dalam keadaan memerlukan.
Seorang ibu tunggal kepada lima orang anak, Nurul Tompang yang telah kehilangan pendapatan sejak dua bulan antara individu yang telah menerima manfaat daripada inisiatif Gerobok Prihatin tersebut.
“Saya memang sangat terkesan setelah dicutikan kerja sebagai pembantu tukang masak sejak dua bulan kerana ketiadaan pelanggan di tempat kerja iaitu sebuah restoran di kawasan sekitar.
“Inisiatif ini sangat bagus kerana dapat membantu penduduk yang memerlukan. Terima kasih juga saya ucapkan kepada mereka yang menyumbang dan kepada ketua penduduk yang yang mengambil berat permasalahan dihadapi,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, di sini hari ini.
Bagi suri rumah, Norlela Mohammad pula, dia mengetahui mengenai Gerobok Prihatin melalui jirannya dan telah dua kali mengambil barang keperluan harian di situ selepas terputus bekalan barang makanan di rumahnya.
“Alhamdulillah usaha ini sedikit sebanyak boleh kurangkan beban keluarga kerana saya sendiri sudah beberapa bulan tidak bekerja,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Whip Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Baharuddin Mohamed Taib memberitahu, pihaknya terharu dengan kewujudan Gerobok Prihatin yang diusahakan sendiri oleh mereka dalam kalangan B40.
“Penduduk di sini bukan orang senang dan kebanyakannya golongan B40 tetapi mereka prihatin, jadi rezeki yang ada walau sedikit mereka sumbangkan.
“Tidak perlu tunggu menjadi kaya pun untuk menyumbang, B40 pun boleh menyumbang kalau mereka masih ada pekerjaan dan mampu untuk membantu individu lain.
“Kalau ada dalam kalangan jiran kita susah, kita kena tolong mereka,” katanya yang memberitahu Gerobok Prihatin tidak menghadkan sebarang kuantiti pengambilan barangan harian namun penerima perlu berlaku jujur.
Ujarnya lagi, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada seramai lebih 20 penduduk di kawasan kediaman berkenaan dan dijangka jumlahnya akan terus meningkat dari semasa ke semasa. -UTUSAN ONLINE