LANGKAWI: Kadar pemberian vaksin Covid-19 di Langkawi perlu dipercepatkan bagi membolehkan pulau peranginan tersebut menerima kedatangan pelancong seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Ketika ini kadar pemberian masih bergerak pada kadar yang agak perlahan walaupun ada pengumuman daripada kerajaan mengenai pembukaan semula pulau itu kepada pelancong pada seawal September ini.
Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mansor Ismail berkata, jumlah vaksin yang dibekalkan di sini hanya dapat mempercepatkan pemberian dos kedua, manakala suntikan dos pertama masih pada kadar yang sama seperti sebelum ini.
Menurutnya, data yang dikemas kini pada setiap minggu menunjukkan lebih kurang 22,600 orang atau 20 peratus daripada 108,400 penduduk pulau ini telah menerima dos pertama vaksin dan 16,100 orang atau 14 peratus penduduk telah menerima dos kedua.
“Langkawi dijanjikan akan menerima sebanyak 39,000 dos vaksin pada 14 Julai nanti, selaras dengan perancangan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi untuk membuka PPV (Pusat Pemberian Vaksin) ketiga di sini dalam masa lebih kurang dua minggu lagi.
“PPV ketiga itu akan dibuka di LICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi) yang boleh menampung 2,000 hingga 3,000 penerima vaksin setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Mansor memberitahu, dua PPV sedia ada iaitu Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi dan Dewan Syifa di sini hanya dapat menampung seramai 1,600 penerima vaksin setiap hari.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya bercadang untuk membuka PPV secara pandu lalu di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) tetapi terpaksa membatalkan hasrat itu kerana MIEC memerlukan kos penyelenggaraan dan baik pulih yang tinggi kerana sudah lama tidak digunakan.
Selain itu, beliau memberitahu, pembukaan semula pulau pelancongan kepada pelancong bergantung kepada kes aktif yang terdapat di pulau ini.
“Kalau Langkawi masih di zon merah, kita tetap tidak boleh buka. Jadi kita sedang tingkatkan usaha untuk mempercepatkan pemberian vaksin dan juga menggiatkan usaha mengawal jangkitan daripada terus merebak,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan menggerakkan program vaksinasi khas Pulau Langkawi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan, sasaran 80 peratus ke atas penduduk pulau itu bagi membolehkan ‘gelembung pelancongan’ dilaksanakan menjelang bulan September nanti.- UTUSAN ONLINE










