Pekerja asing bertempiaran elak dicekup - Utusan Malaysia

Pekerja asing bertempiaran elak dicekup

SEBAHAGIAN pekerja warga asing yang diperiksa dalam serbuan Op Patuh oleh Jabatan Imigresen Perak di sekitar di Ipoh dan Batu Gajah semalam. - UTUSAN/IHSAN JABATAN IMIGRESEN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekumpulan warga asing sanggup membahayakan diri dengan memanjat pagar zink ketika kilang percetakan di Kawasan Perindustrian Pengkalan II, Pusing di sini diserbu Jabatan Imigresen Perak, semalam.

Tindakan mereka untuk meloloskan diri itu bagaimanapun gagal apabila kilang berkenaan dikepung dan pekerja kilang yang terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh itu berjaya diberkas.

Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, premis itu diperiksa dalam serbuan Op Patuh yang dijalankan bermula pukul 9.30 pagi hingga 2.00 petang.

Katanya, pemeriksaan mendapati, kilang tersebut disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

“Kehadiran pegawai operasi di lokasi menyebabkan mereka lari bertempiaran sehingga ada yang sanggup menggadai nyawa dengan memanjat pagar zink yang tajam di belakang premis terbabit.

“Bagaimanapun, kawasan kilang seluas padang bola itu telah dikepung dan kami berjaya menahan mereka yang berusia 30 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, selain kilang percetakan itu, pihaknya turut menyerbu dua buah kilang di Lahat Baru dan Pinji Estate serta sebuah restoran di Bandar Sri Pengkalan, Pusing.

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 74 orang telah diperiksa terdiri daripada pelbagai
warganegara.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 27 orang telah ditahan melibatkan 18 lelaki Bangladesh, Indonesia (4), Myanmar (4) dan seorang warga Pakistan.

“Kesemua yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 52 tahun. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN