Peguam syarie boleh mohon CIMS untuk beroperasi - Utusan Malaysia

Peguam syarie boleh mohon CIMS untuk beroperasi

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam syarie di seluruh negara boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat atau firma guaman syarie sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, permohonan itu boleh dibuat melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) – Covid-19 Intelligent Management System (CIMS).

Beliau berkata, permohonan tersebut akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan untuk kelulusan.

“Pengoperasian berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 15 Julai lalu.

“Kelulusan permohonan juga tertakluk kepada negeri-negeri yang berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, permohonan boleh dibuat melalui Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie yang mempunyai empat subsektor.

Menurutnya, empat subsektor berkenaan adalah Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie, Perkhidmatan Guaman Syariah, Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat serta Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan atas kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), MKN, MITI, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi mempermudahkan usaha ini.

“Peluang diberikan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua peguam syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN