PETALING JAYA: DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai calon Perdana Menteri jika dakwaan jajaran baharu yang bakal dibentuk UMNO melibatkan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, dalam mesyuarat sebelum ini, PH sudah menetapkan bahawa Anwar hanya satu-satunya calon bagi menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Sekarang bagi PH, calon Perdana Menteri kita buat masa ini ialah Anwar. Keputusan kita adalah Anwar dan kita tidak akan mengundang calon lain kecuali kita buat mesyuarat baharu, maka itu cerita lain pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi keyakinan kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu bahawa pemimpin UMNO akan kembali menjadi Perdana Menteri dalam jajaran baharu yang bakal dibentuk.
Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO itu dalam pertemuan bersama ahli MT sebagai menyokong usaha UMNO menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga sidang Parlimen kerana perkara itu adalah andaian semata-mata.
“Amanah bersama PH dan calon Perdana Menteri adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, jika pakatan antara PH dan BN berlaku, sudah pasti hanya Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Kita mesti berpusat kepada kekuatan kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. Anwar telah berulang kali membuktikan bahawa kita dapat mempertemukan semua parti.
“PH dan BN mampu membentuk kerajaan berdasarkan matlamat sama iaitu fokus untuk rakyat dan membantu keperluan mereka ketika pandemik ini. Kita tidak fokus kepada kepentingan parti atau individu,” katanya dalam Twitter beliau. – UTUSAN ONLINE










