SEREMBAN: Sebanyak 11 kompaun telah dikeluarkan kepada pihak majikan di negeri ini menerusi Op Patuh yang dilaksanakan secara besar-besaran ke atas kilang-bermula 2 Julai lalu sehingga ke hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kompaun tersebut dikenakan hasil pemeriksaan yang telah dibuat pihaknya bersama beberapa agensi lain ke atas 335 buah kilang dan asrama kilang.
“Kita telah keluarkan sebanyak 11 kompaun atas pelbagai kesalahan dan daripada sejumlah 335 buah kilang yang diperiksa itu, sebanyak tujuh kilang telah diarahkan tutup.
“Op Patuh ini dilakukan secara bersepadu dan kita pergi antaranya bersama pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Jika MITI melihat ada kilang beroperasi tanpa kebenaran dan PKD pula mendapati berlakunya kes Covid-19 di kilang-kilang terbabit, itu antara sebab kenapa premis kilang itu diarahkan tutup dan diberhentikan operasi sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika wawancara berkaitan Op Patuh bersama stesen radio NegeriFM di sini hari ini.
Sementara itu, tambah Mohamad, tumpuan dalam Op Patuh adalah bagi memastikan semua kilang yang beroperasi mendapat kebenaran daripada pihak MITI untuk beroperasi selain mematuhi syarat yang dibenarkan.
“Di negeri ini terdapat sebanyak 448 kilang dan tidak semuanya beroperasi dan bukan semuanya menjalankan perkhidmatan perlu. Tumpuan pertama kita adalah untuk memastikan kilang-kilang tersebut dapat kebenaran tertentu oleh MITI untuk beroperasi.
“Jika dapat kebenaran pun, kita akan lihat pematuhan syarat beroperasi seperti hanya 60 peratus kehadiran pekerja dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lain seperti penggunaan MySejahtera. Agensi-agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan bantu untuk melihat jika ada kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan oleh pihak kilang,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, seramai 230 orang anggota dan pegawai polis akan terlibat dalam Op Patuh di negeri ini setiap hari. -UTUSAN ONLINE










