PETALING JAYA: Arahan supaya mewajibkan kuarantin 14 hari bagi pekerja minyak dan gas di luar persisiran pantai perlu dinilai semula.
Menurut Pengerusi JawatanKuasa Penaja Offshore Employee Malaysia (OSEM), Ruzaihan Junit berkata, arahan supaya mewajibkan kuarantin 14 hari sebelum dibenarkan ke tempat kerja dilihat sebagai tidak wajar serta tidak adil bagi pekerja-pekerja luar pantai.
“Ini kerana arahan itu tidak sama sekali menggambarkan realiti yang berlaku hari ini apabila sektor perkilangan yang merupakan kawasan jangkitan tertinggi di Malaysia diberikan kebebasan.
“Malah, inisiatif terbaharu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membenarkan pekerja yang dikenal pasti sebagai kontak rapat untuk terus bekerja.
“Sedangkan, dalam masa yang sama, pekerja-pekerja luar pantai yang sihat diasingkan daripada dunia luar termasuk keluarga sendiri selama 14 hari sebelum dibenarkan bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ruhaizan, arahan ini dilihat sebagai tidak logik memandangkan pekerja telah pun dikuarantin selama 14 hari sebelum ke lokasi masing-masing.
“Arahan ini telah menghilangkan keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance), menjadikan masa para pekerja berjauhan daripada keluarga lebih banyak berbanding masa bersama dengan keluarga.
“Ia juga mewujudkan tekanan terhadap pekerja selain mengganggu kestabilan mental para pekerja luar pantai sekaligus mewujudkan risiko yang lebih besar tentang keselamatan mereka sewaktu mereka berdepan dengan risiko harian di tempat kerja masing-masing,” katanya.
Bukan sekadar impak kepada para pekerja terhadap kewangan syarikat kerana terpaksa menanggung bebanan belanja tambahan demi memenuhi kriteria kuarantin yang ditetapkan oleh kementerian.
“Kementerian boleh timbang semula arahan tersebut sama ada membatalkan atau memendekkan tempoh kuarantin ketika mendaftar masuk ke lokasi luar pantai atau setidak-tidaknya membenarkan kuarantin dijalankan di kediaman masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE










