PETALING JAYA: Pertubuhan Muslim Care Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan tujuh unit syringe pump yang berfungsi membantu memudahkan tugas memasukkan ubat ke dalam picagari, bernilai kira-kira RM30,000 kepada Hospital Serdang.
Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, sumbangan berkenaan adalah hasil sumbangan orang ramai menerusi pihaknya dan sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Nation.
“Ia juga adalah sumbangan orang ramai yang boleh dianggap sebagai sedekah jariah kerana selagi mesin itu berfungsi, ia dapat memberikan kebaikan kepada pesakit-pesakit terutamanya di hospital ini, ” katanya kepada pemberita di lobi Hospital Serdang, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga mengharapkan lagi sumbangan berterusan daripada orang ramai yang amat prihatin.
“Bukan setakat ini sahaja, bahkan banyak lagi keperluan hospital yang diperlukan pada masa hadapan.
“Terima kasih dan jangan lupa untuk terus membantu rakyat yang masih terkesan dengan tempoh pandemik,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Perubatan III) Hospital Serdang, Dr. Ferwahn Fairis Ab. Karim berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan.
“Dengan sumbangan itu, ia dapat digunakan dengan sebaiknya untuk pesakit sama ada pesakit yang dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.
“Mesin itu juga sangat diperlukan untuk tempoh jangka masa panjang dan bukan untuk kegunaan tempoh pandemik sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










