Muhammad Syaharuddin, isteri antara 60,000 dipilih tunai haji tahun ini - Utusan Malaysia

Muhammad Syaharuddin, isteri antara 60,000 dipilih tunai haji tahun ini

MUHAMMAD Syaharuddin Shahari, 36, dan isterinya, Nur Salimah Md Hasim, 35, bersyukur kerana terpilih untuk menunaikan ibadat haji pada musim ini ketika kerajaan Arab Saudi masih mengenakan syarat ketat ekoran pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Muhammad Syaharuddin Shahari, 36, antara rakyat Malaysia bertuah yang dipilih mengerjakan ibadat haji tahun ini di sebalik syarat dan proses ketat dikenakan Kerajaan Arab Saudi ekoran pandemik Covid-19.

Muhammad Syaharuddin yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor bersama isterinya warga Singapura menjadi antara 60,000 umat Islam dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima itu musim ini.

Mereka dipilih daripada 540,000 permohonan diterima Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi daripada penduduk tempatan dan warga asing yang mendiami negara berkenaan.

Muhammad Syaharuddin dan isterinya, Nur Salimah Md Hasim, 35, yang juga pembimbing dan konsultan haji bagi platform Salam Haji menerima berita gembira berkenaan pada 26 Jun lalu.

Dia tinggal di Mekah sejak 2008 berkata, kelulusan diperoleh untuk menunaikan haji tahun ini adalah seruan paling istimewa daripada Allah SWT buatnya terutama ketika dunia masih dilanda pandemik Covid-19.

“Perasaan kami bercampur-baur dan sudah pasti sangat bersyukur dengan kurniaan ini. Kami anggap ini adalah rezeki daripada Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Muhammad Syaharuddin, setakat ini mereka yang dipilih perlu melalui fasa kedua proses pendaftaran dengan Kerajaan Arab Saudi yang bermula sejak 25 Jun lalu hingga 2 Julai ini.

“Pada fasa kedua, jemaah perlu memilih dan membuat pendaftaran pakej serta pembayaran kepada kira-kira 100 syarikat pengurusan haji yang berdaftar dengan Kerajaan Arab Saudi.

“Kami difahamkan setiap syarikat diberikan kuota menguruskan kira-kira 250 orang jemaah,” katanya.

Beliau berkata, dia dan isterinya yang berpengalaman sebagai pembimbing dan konsultan haji sejak 2014 untuk warga Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang bermastautin di Arab Saudi juga melaksanakan tugas berkenaan pada musim haji tahun ini.

“Setakat ini terdapat kira-kira 153 orang termasuk warga Malaysia yang dipilih menunaikan haji mendaftar mengikuti kursus dan panduan ibadat haji yang disediakan oleh kami.

“Sebelum ini, kami berdua menjadi penterjemah serta memberikan kursus dan panduan haji di bandar-bandar yang ramai warga Asia Tenggara menetap seperti di Riyadh, namun kursus bagi musim haji tahun ini juga diberikan secara online memandangkan pandemik Covid-19 mengubah cara kita berinteraksi,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Salimah berkata, perjalanan haji bagi tahun dijangka lebih sistematik memandangkan kerajaan Arab Saudi bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Para jemaah yang dirpilih dikehendaki mengambil suntikan dos kedua Covid-19 dalam tempoh 48 jam selepas diberi makluman mengenai kelulusan permohonan mereka,” katanya.

Tambahnya, para jemaah juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal bermula dari sekarang termasuk menjaga kesihatan sebagai persediaan awal menunaikan ibadah haji.

“Doa adalah yang paling penting ketika ini, kita adalah insan istimewa yang terpilih dan diberikan rezeki untuk menunaikan haji, jadi doa serta tawakal kepada Allah SWT paling penting ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN