Mohd. Rashid, isteri, anak akan dipanggil bantu siasatan - Utusan Malaysia

Mohd. Rashid, isteri, anak akan dipanggil bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis akan memanggil Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung gambar yang tular melibatkan beliau menyertai ‘kenduri ketupat’ di sebuah inap desa di Rengit, Batu Pahat, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya juga akan memanggil beberapa lagi individu lain termasuk isteri dan anaknya serta pemilik sebuah inap desa berkenaan yang disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, keterangan itu bagi melengkapkan kertas siasatan yang telah dibuka mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Polis sudah membuka kertas siasatan, kita akan panggil Mohd. Rashid dan mereka yang terlibat, difahamkan dia bersama isteri dan anaknya serta pemilik sebuah inap desa di Rengit, Batu Pahat.

“Kita akan panggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Semalam, Facebook OPS Johor menyiarkan gambar Mohd. Rashid bersama keluarga makan di sebuah ladang pertanian yang mendakwa mereka melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada bulan lalu, Mohd. Rashid juga terpalit dengan isu tular melanggar SOP kerana menyertai ‘kenduri durian’ beramai-ramai dalam sebuah kebun durian yang juga berlaku di Batu Pahat.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, kertas siasatan berhubung isu kenduri durian itu telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada 14 Julai lalu dan masih menunggu arahan lanjut untuk tindakan seterusnya.

Malah, Ayob Khan menegaskan pihaknya tidak mengamalkan double standard seperti didakwa warganet. 

“Saya juga dapat komen dalam Facebook dan sebagainya yang mempertikaikan tindakan polis yang mendakwa double standard, kalau orang awam terus diberi kompaun, kalau melibatkan orang kenamaan (VIP) kita buka kertas siasatan terlebih dahulu.

“Ini salah faham. Jika kes polis keluarkan saman itu bermakna ia dilakukan secara langsung iaitu kita sedang buat pemantauan. Kemudian ada pelanggaran undang-undang berlaku, maka kita keluarkan saman terus kepada pesalah.

“Tetapi, ada kes tertentu, bukan melibatkan VIP sahaja, perkara yang ditularkan dalam media sosial itu kita perlu menjalankan siasatan dahulu, contohnya gambar yang tular, kita perlu sahkan dahulu gambar itu baru atau lama, bila diambil, disunting atau tidak. Harap tidak salah faham,” katanya -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN