SUNGAI PETANI: Seorang pengarah sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa melibatkan dirinya.
Suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu disyaki menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Koperasi dengan melantik syarikat milik anaknya untuk kerja-kerja pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.
Dia ditahan kira-kira pukul 1 petang, semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar Ogos 2024 di mana pembekalan kain batik itu bertujuan untuk pembuatan baju batik tenaga pengajar dan kakitangan institusi terbabit,” kata sumber SPRM.
Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari depan dikeluarkan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










