MBJB komited teruskan program bank makanan - Utusan Malaysia

MBJB komited teruskan program bank makanan

Orang ramai beratur dan menjaga SOP walau dalam keadaan hujan untuk mendapatkan pek keperluan asas sempena Program Bank Makanan di Dewanraya Taman Perbadanan Islam, Kebun Teh disini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi jaminan akan meneruskan program Bank Makanan bagi membantu seluruh rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 terus menerima bantuan selagi Program Pemulihan Negara (PPN) diteruskan.

Setiausahanya, Miswan Yunus berkata, semua Ahli Majlis MBJB sudah menerima peruntukan bagi mengadakan program tersebut di kesemua 24 zon yang terdapat dalam kawasan pentadbiran MBJB.

Katanya, sumbangan bantuan secara one-off itu merupakan inisiatif MBJB dalam membantu bukan sahaja golongan yang terjejas akibat penularan pandemik sejak tahun lalu.

“Penerima bantuan bukan hanya berkisar dalam kalangan golongan B40 sahaja, tetapi turut membabitkan mereka yang hilang punca pendapatan, dibuang kerja dan sebagainya.

“Selagi belum tamat PPN yang dilaksanakan mengikut fasa, Insha-Allah program Bank Makanan ini juga akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada Program Bank Makanan di Dewanraya Taman Perbadanan Islam (TPI), Taman Suria, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Makmur Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

Kata Miswan, program tersebut turut berjaya menarik sokongan pihak korporat yang turut bersama menyumbang barangan asas dan keperluan harian sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta sumbangan peribadi individu dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Dalam pada itu, Mohd. Hairi yang juga Ahli Majlis Zon Kebun Teh berkata, ini adalah kali kedua program seumpama ini diadakan di Zon Kebun Teh yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penerima.

Katanya, sebelum ini, sebanyak 500 bakul makanan diagihkan kepada penerima dari rumah ke rumah yang sudah dikenal pasti betul-betul terkesan ketika pandemik Covid-19 melanda.

“Sejak pukul 7 pagi lagi sudah ada yang berbaris untuk mengambil bakul makanan walaupun kaunter masih belum dibuka. Ini menunjukkan mereka ini amat terjejas akibat pandemik dan sangat perlukan bantuan.

“Sudah pastinya agenda ini akan kita teruskan dan saya berharap dapat menarik penglibatan lebih ramai pihak korporat untuk terlibat sama dalam program ini di masa akan datang,” katanya.

Beliau merancang untuk memberi sumbangan satu kontena barang basah buat penerima pada program Bank Makanan yang seterusnya tidak lama lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN