LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 64 set bubu naga di sekitar perairan Pulau Talang, Segari, dekat sini, semalam dan kelmarin.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam rampasan pertama sebanyak 22 set bubu naga ditemui sekitar tiga batu nautika barat daya Pulau Talang pada pukul 3.15 petang semalam.
“Bot peronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Pintas dan Op Sayong telah mengesan bubu naga tersebut berhampiran Pantai Remis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahrizan, pada kelmarin pula sebanyak 42 set bubu naga dirampas di kawasan yang sama menjadikan sejumlah 64 set keseluruhan telah berjaya dirampas dalam masa dua hari semasa operasi dilakukan.
Jelasnya, pemeriksaan di dua lokasi itu mendapati, pelampung digunakan sebagai penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh nelayan yang tidak bertanggungjawab bagi tujuan meraih hasil dengan jalan mudah sebelum berjaya merampas alat penangkapan ikan tersebut.
Menurutnya, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM7,680 dengan anggaran RM120 seunit itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Penggunaan alat penangkapan jenis bubu naga ini masih berleluasa meskipun rampasan telah dilakukan sepanjang operasi di perairan tersebut kerap dilaksanakan,” jelasnya.
Tegasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Menurut Shahrizan, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai. – UTUSAN ONLINE










