Pelajar perempuan cedera jatuh dari tingkat empat bangunan sekolah

Pelajar perempuan cedera jatuh dari tingkat empat bangunan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera setelah terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah di Pontian Besar, di sini semalam.

Pei Chun High School dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 9 pagi ketika sesi persekolahan sedang berjalan.

“Sebaik kejadian berlaku, pihak sekolah segera menghubungi ambulans untuk menghantar pelajar tersebut ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ketika ambulans tiba di lokasi, pelajar dalam keadaan sedar.

“Lembaga Pengarah dan guru turut ke hospital untuk melawat pelajar dan memberikan bantuan serta sokongan yang diperlukan kepada pelajar dan ahli keluarga.

“Pihak sekolah juga akan menyemak semula dan memperkukuh langkah-langkah pengurusan keselamatan sekolah, demi terus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, sihat dan tenteram,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pihak sekolah telah membuat laporan polis dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga sekolah berkenaan, Lim Chin Fook berkata, pelajar perempuan terbabit itu terjatuh dari tingkat empat dan menembusi bumbung koridor (awning).

Katanya, pihak sekolah percaya disebabkan adanya bumbung tersebut, mangsa tidak mengalami kecederaan luaran yang ketara, dan masih menunggu laporan perubatan.

“Semasa kejadian, seorang guru dan beberapa pelajar sedang lalu di kawasan tersebut dan menyaksikan sendiri insiden berkenaan. Kemalangan itu menyebabkan mereka mengalami trauma dan memerlukan sesi kaunseling psikologi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN