MOSCOW: Tentera Russia dikesan menggunakan teknik penyamaran kuno era Perang Dunia Pertama yang dikenali sebagai ‘Dazzle’, bagi menyukarkan trak dan kenderaan perisainya daripada menjadi sasaran serangan dron ciptaan kecerdasan buatan (AI) milik Ukraine.
Ketika jentera ketenteraan Ukraine lebih tertumpu kepada penggunaan dron pemusnah dan robot canggih, Russia dilapor bertindak balas dengan menghidupkan semula kaedah penyamaran lama yang pernah digunakan oleh pasukan tentera British sekitar tahun 1917.
Teknik Dazzle ini dicirikan melalui penggunaan bentuk geometri berwarna hitam dan putih yang kontras. Tujuannya bukanlah untuk menjadikan kenderaan itu ‘halimunan’ daripada pandangan, sebaliknya direka khas untuk mengelirukan sistem pengesan ‘mata robotik’ pada dron AI yang diprogramkan untuk memusnahkan aset berkenaan.
Beberapa siri foto memaparkan trak tentera jenis Kamaz dan Ural milik Russia yang dicat dengan corak hitam putih secara rawak kini tular di media sosial, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet mengenai keberkesanan fungsi penyamaran sedemikian.
Menurut pakar ketenteraan, teknik penyamaran unik itu asalnya dibangunkan oleh pelukis rasmi tentera laut British, Norman Wilkinson bagi mengurangkan risiko serta keberkesanan serangan daripada kapal selam Jerman.
Corak geometri bersaiz besar yang bertentangan itu mampu menyukarkan kru kapal selam yang menggunakan periskop untuk menentukan arah laluan, kelajuan serta jenis kapal sasaran.
Meskipun kaedah tersebut sudah berusia lebih satu abad, Moscow nampaknya percaya strategi pertahanan lama itu masih relevan dan mampu memberikan impak positif dalam mendepani teknologi perang moden.
Bagaimanapun, pihak tentera Ukraine kekal optimis dan menyifatkan corak penyamaran bertemakan kuda belang yang diperkenalkan oleh Russia itu tidak akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Komander Rejimen Sistem Tanpa Pemandu Berasingan Ke-422 Luftwaffe Kor Tentera Ke-17 Ukraine, Mejar Mykola Kolesnyk menegaskan, pihaknya akan terus menggempur dan memusnahkan kenderaan tentera Russia tanpa mengira apa jua jenis warna atau corak yang digunakan.
“Kami akan tetap membedil kenderaan ini tidak kira sama ada mereka mengecatnya seperti corak zebra, burung unta, badak sumbu atau apa-apa sahaja.
“Saya menyatakan dengan penuh tanggungjawab bahawa helah ini sama sekali tidak akan menghalang kami daripada terus membakar dan memusnahkan aset-aset ketenteraan mereka,” katanya kepada majalah Army 3. – AGENSI










