Majlis Pemulihan Negara dibentuk, ganti JKKPPN - Utusan Malaysia

Majlis Pemulihan Negara dibentuk, ganti JKKPPN

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibentuk menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19 secara holistik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MPN akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bakal melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman dan nasihat dalam pelbagai aspek PPN berteraskan pendekatan whole of nation bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik secara sistematik dan selamat.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Penyelaras PPN berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat kedua JKKPPN hari ini dipengerusikan Perdana Menteri bagi memantau perkembangan semasa penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

“Mesyuarat juga memutuskan PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai ini.

“Beberapa perkara lain turut diputuskan yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, antara perkara yang diputuskan ialah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan maklum balas antara lainnya dari subject matter experts, selaras dengan usaha mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.

Selain itu, beberapa kelonggaran kepada rakyat akan diperkenalkan bagi mereka yang mendapat dua dos vaksin selain mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat-syarikat yang memberi vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang ditetapkan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak Covid-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti atau pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya