Majikan didakwa cuba pindahkan pekerja dari kawasan berpotensi PKPD - Utusan Malaysia

Majikan didakwa cuba pindahkan pekerja dari kawasan berpotensi PKPD

PEKERJA warga asing sedang beratur menunggu bas untuk dipindahkan ke pangsapuri di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Usaha majikan sebuah kilang di Ayer Keroh di sini yang cuba memindahkan pekerja warga asing ke sebuah pangsapuri di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang berjaya dihalang oleh pihak polis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 petang itu, hampir semua pekerja itu kelihatan sedang beratur menunggu bas untuk dipindahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri, Ramli Mohd. Ali berkata, beliau telah berjumpa dengan majikan kilang tersebut dan meminta sebahagian pekerjanya yang telah berpindah supaya kembali semula ke rumah sewa di Flat Murni, Taman Muzaffar Shah.

Menurutnya, arahan itu dibuat memandangkan majikan terbabit tidak memaklumkan pemindahan pekerjanya kepada pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan.

“Sebenarnya, tidak ada halangan buat pekerja kilang tersebut berpindah ke tempat lain tetapi masalah yang timbul apabila ramai pekerjanya disahkan positif Covid-19 hingga mewujudkan Kluster Jalan Seri Raya.

“Pihak majikan tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan pekerja dari Taman Muzaffar ke Bukit Beruang tanpa merujuk kepada Kementerian Kesihatan.

“Memandangkan pekerja mereka ramai yang positif Covid-19, maka perlu kementerian mengenal pasti mereka yang perlu dikuarantin termasuk kontak rapat. Ini perlu dilakukan kerana tidak mahu wabak ini tersebar pula di Bukit Beruang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, penduduk di empat taman perumahan sekitar Ayer Keroh merayu supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) melihat semula cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ.

Pengerusi JPKK Ayer Keroh, Ismail Othman berkata, penduduk meminta MKN tidak melaksanakan PKPD kerana individu yang positif Covid-19 kesemuanya adalah pekerja kilang berhampiran.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, beliau bergegas ke Flat Murni setelah dimaklumkan penduduk bahawa beberapa bas dan lori didakwa cuba membawa keluar ke semua pekerja dari situ.

Beliau berkata, tindakan berkenaan tidak kena pada waktunya ketika ramai pekerja di kilang tersebut disahkan positif Covid-19.

“Saya juga dimaklumkan, penduduk di Taman Bunga Raya turut membantah pekerja kilang itu berpindah ke pangsapuri di situ kerana mereka bimbang wujud kluster baru di tempat mereka,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN