Luluskan segera Ivermectin - Utusan Malaysia

Luluskan segera Ivermectin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Malaysia Untuk Kawalan Covid Berkesan (MAECC) menggesa kerajaan mempercepatkan kelulusan penggunaan Ivermectin selepas ubat itu tergolong dalam kategori ubat-ubat penting sebagai alternatif terbaru dalam mengekang wabak Covid-19.

Urusetia MAECC, Kapten Dr. Wong Ang Peng berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah lama memasukkan Ivermectin dalam senarai ubat-ubat penting bagi mengawal penularan wabak itu.

“Ivermectin sudah lama termasuk dalam senarai ubat pen­ting ataupun essential medicines. Sejak 2012, banyak kajian in vitro telah menunjukkan bahawa Ivermectin menghalang replikasi banyak virus, terma­suk influenza, zika, denggi, dan lain-lain,” jelasnya di sini semalam.

Beliau berkata, cerita mengenai Ivermectin hanya bertujuan untuk haiwan dan ia akan menyebabkan kesan sampingan yang teruk kepada manusia adalah tidak benar sama sekali.

“Sebaliknya ia adalah salah satu ubat paling selamat yang pernah dihasilkan malah telah dise­tujui untuk digunakan kepada pesakit HIV dan kudis. Kempen yang dianjurkan sekarang untuk memperlekehkan Ivermectin mes­ti dihentikan,” katanya.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut menyokong supaya Ivermectin digunakan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) bersama de­ngan program vaksinasi dalam melawan pandemik Covid-19.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu memberikan maklum balas positif terhadap gesaan itu kerana ia adalah untuk menyelamatkan nyawa.

Jelas beliau, banyak kajian yang didokumentasikan de­ngan baik menunjukkan penggunaan Ivermectin mengurangkan risiko mendapat Covid-19 sehingga lebih 90 peratus dan kematian sehingga 68 sehingga 91 peratus.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keputusan kajian ubat Ivermectin untuk digunakan bagi merawat pesakit Co­vid-19 akan diketahui pada September ini.

Katanya, seramai 200 pesakit menyertai kajian penggunaan Ivermectin di 18 hospital kerajaan setakat ini.

“Berdasarkan perancangan awal, keseluruhan seramai 500 pesakit berisiko tinggi dan bergejala ringan akan terbabit dalam kajian itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN