KENINGAU: Tindakan seorang lelaki menyembunyikan daun ketum dalam plastik hitam dan kemudian cuba merentas daerah berjaya dikesan apabila dia ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 7 Jalan Tambunan-Kota Kinabalu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi semalam, lelaki yang merentas daerah bagi tujuan berniaga itu ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas di SJR kerana kelakuan suspek yang mencurigakan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, apabila kenderaan suspek diperiksa oleh pasukan keselamatan yang bertugas, mereka menemukan 10 bungkusan plastik hitam yang berisi daum ketum.
Berdasarkan keterangan suspek yang berusia 30-an, dia dalam perjalanan pulang dari Tenom menuju ke Ranau selepas mengambil bekalan daun ketum di Tenom.
Hasil pemeriksaan mendapati, suspek menyalahgunakan surat rentas daerah bagi tujuan perniagaan untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Pihaknya percaya, daum ketum seberat 80 kilogram itu akan diproses menjadi air ketum sebelum diedarkan di Ranau.
Suspek kini direman selama empat hari di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1852 kerana memiliki daun ketum yang mengandungi Mitragynine yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Shahrudin turut menasihatkan orang ramai agar tidak terjebak mengambil air ketum kerana ia mengandungi bahan alkaloid psikoaktif yang akan menyebabkan ketagihan.
Tambah beliau, perbuatan memiliki atau menjual sebarang bentuk daun atau cecair ketum adalah satu kesalahan yang salah dari sisi undang-undang.- UTUSAN ONLINE