PUTRAJAYA: Kuarters pekerja di dua ladang kelapa sawit dalam Bahagian Mukah, Sarawak bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad sehingga 7 Ogos ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti asrama petugas berkenaan terletak di Ladang Pelitanah 1 dan 2, Lot No.16 dalam Daerah Batang Oya-Dalat iaitu ladang pertanian komoditi milik syarikat Amalan Pelita Pasai Sdn. Bhd.
Kata beliau, turut dikenakan arahan sama ialah penduduk di Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang bersebelahan Sungai Kerayong dan Sungai Klang, manakala selebihnya sejumlah 11 lokaliti lagi sekitar Sabah antaranya dua lokaliti dalam Bahagian Sandakan iaitu Kampung Berhala Darat dan Kampung Melayu Bumiputera.
“Juga Kampung Kolam, Bahagian Kudat; Taman Sabana Fasa 1, Daerah Keningau, dan Kampung Nagapas, Jalan Kebun Lama, Daerah Papar; enam lokaliti di Daerah Kota Kinabalu iaitu Taman Sepanggar, Blok D dan E Apartment Angkasa, Bandar Sinsuran, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan serta Kampung Lokub,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, satu lokaliti di negeri itu yang dikenakan PKPD sejak 11 Julai lalu berakhir esok seperti dijadualkan iaitu Blok 11 dan 12, Lorong 4, Taman Nuri, Bahagian Sandakan selain satu lokaliti di Kuala Lumpur iaitu di Apartment Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil.- UTUSAN ONLINE