Kontraktor tempatan perlu berpadu tenaga atasi cabaran industri - Utusan Malaysia

Kontraktor tempatan perlu berpadu tenaga atasi cabaran industri

AMRAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMM-WP) menyeru semua pihak dalam industri pembinaan berpadu tenaga menyelesaikan masalah dihadapi kesan daripada penularan pendamik Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan. 

Yang Dipertuanya, Datuk Amran Mohamed berkata, kontraktor kini berdepan cabaran getir terutama pasca Covid-19 yang mengakibatkan kurangnya kontrak kerja di pasaran seterusnya menyukarkan kontraktor kekal beroperasi. 

Katanya, faktor tersebut telah diburukkan dengan munculnya kontraktor baharu yang makin bertambah berbanding sebelum pandemik yang telah menjerumuskan kontraktor dalam kemelut yang bakal menyebabkan sesetengahnya gulung tikar. 

“Selain itu kekurangan pekerja di tapak binaan yang majoritinya warga asing menyulitkan lagi keadaan sehingga menyebabkan berlakunya ketidakmampuan syarikat pembinaan untuk mengurus dan membiayai pekerja terbabit. 

“Semua cabaran ini perlu didepani bersama bagi mengelak tempoh suram dalam industri binaan yang menyebabkan banyak syarikat kontraktor berdepan kerugian besar dan akhirnya ditutup,” katanya ketika menjadi panel dalam Forum Virtual anjuran PKMM-WP baru-baru ini. 

Forum berlangsung bertemakan Senario Industri Pembinaan Semasa Pandemik Covid-19, telah mengenengahkan pelbagai cabaran dan penyelesaian yang perlu disegerakan bagi mengelakkan para kontraktor Bumiputera gulung tikar dan tanggung bebanan hutang yang besar. 

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Wilayah Persekutuan, Zainora Zainal serta Pengarah PKK Cawangan Wilayah Persekutuan, Mohamad Hasyim. 

Amran berkata, trend peningkatan kos dan harga bahan binaan yang terlampau tinggi juga terus mempengaruhi aliran tunai syarikat yang pastinya merugikan kontrak sedang beroperasi. 

Katanya, industri binaan berdepan dengan pelbagai masalah dan cabatan getir disebabkan kesan pandemik Covid-19 yang melanda terlalu lama sehingga lebih setahun. 

“Keadaan ini memberi cabaran yang besar kepada kontraktor kerana projek diluluskan terpaksa beroperasi dengan kapasiti yang terhad disebabkan rantaian bekalan bahan binaan yang terputus atau tiada di pasaran. 

“Senario ini berlaku kerana sebahagian bahan binaan sahaja mendapat kebenaran beroperasi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI sepanjang pelaksanaan PKP. Masalah ini menyebabkan ramai kontraktor kini menanggung hutang, pekerja tempatan dibuang kerja, malah ada kontraktor gulung tikar ceburi bidang lain,” katanya. 

Dalam perkembangan melibatkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), Amran berkata, pelan terbabit menjurus kepada kontrak kerajaan membenarkan perubahan harga (VOP ), memberi lanjutan masa ( EOT ) kepada projek kerja yang terjejas serta melaksanakan kerja – kerja undi bagi kontraktor G1 hingga G4.

Katanya, semua pemain industri bergabung tenaga serta bekerjasama dalam PKMM bagi menyelesaikan masalah sedang berlaku.

“Bagi kontraktor konsesi yang diberi kepercayaan oleh kerajaan pula, perlu patuh syarat asal konsesi termasuklah konsep payung untuk membantu kontraktor kecil. 

“Caranya ialah dengan  memberi harga terbaik dan tidak memikir keuntungan semata -mata. Kita juga akan adakan sesi libat urus PKMM serta pemain-pemain industri dengan pihak kerajaan secara lebih kerap bagi membincangkan dasar – dasar berkaitan perkara berbangkit seperti pakej – pakej bantuan prihatin  kepada industri binaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN