Kisah pendakwah bebas tular dibantu LZS - Utusan Malaysia

Kisah pendakwah bebas tular dibantu LZS

SKUAD Saidina Umar LZS menyantuni pendakwah bebas yang terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19 di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya malam semalam. - GAMBAR/Facebook LZS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Seorang pendakwah bebas dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) susulan kesulitan yang dihadapinya tular dalam media sosial akibat terkesan pandemik Covid-19.

Pendakwah yang tinggal di Damansara, Petaling Jaya itu tidak dapat mengadakan sesi pengajian di masjid dan surau menyebabkannya berhadapan masalah melunaskan tunggakan sewa rumah dan perbelanjaan harian termasuk menyara empat orang anak serta isterinya yang tidak bekerja.

Lantaran itu, LZS menerusi hantaran Facebooknya menjelaskan pihaknya melalui Skuad Saidina Umar (SSU) mengambil inisiatif menyantuni pendakwah berkenaan dan mendapati terdapat kekeliruan dalam maklumat yang tular itu.

“Hasil siasatan terhadap hantaran Facebook berkenaan mendapati isu yang dinyatakan berserta gambar yang tular tidak selari dan menimbulkan kekeliruan.

“Justeru, kami bertemu dengan pendakwah bebas ini bagi mendapatkan maklumat lanjut dan mengesahkan hantaran berkenaan sebenarnya bertujuan mengulas isu mengangkat ‘bendera putih’ oleh mereka yang terputus bekalan makanan atau mengalami masalah kewangan. 

“Hantaran itu bukan untuk memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya adalah pandangan peribadi pendakwah itu sendiri agar masyarakat yang susah perlu diberi bantuan segera,” katanya semalam.

Bagaimanapun, carian Utusan Malaysia bagi mengenal pasti hantaran Facebook berkenaan tidak berjaya dan dipercayai sudah pun diturunkan.

Tambah kenyataan itu lagi, bagi membantu pendakwah yang terkesan itu, pihaknya menghulurkan bantuan menerusi Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) untuk menjelaskan tunggakan sewa rumah serta kos perubatan setiap bulan.

“Memandangkan situasi semasa yang semakin meruncing kini, kami bersedia untuk menyantuninya bagi kewangan bulanan dan sewa rumah bulanan. Pendakwah bebas itu merupakan salah seorang penerima bantuan tersebut bagi pembayaran tunggakan sewa rumah serta perubatan setiap bulan.

“Beliau tetap gigih membantu sahabat -sahabat pendakwah lain yang juga terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. Situasi dihadapi mereka sangat membebankan dan memerlukan bantuan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN