KUALA LUMPUR: Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ke-51 daripada 53 negara dalam carta ketahanan Covid-19 di dunia.
Senarai itu dikeluarkan oleh Bloomberg berdasarkan prestasi pengawalan Covid-19, kesediaan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan hidup bagi 53 negara ekonomi paling besar.
Lapor Bloomberg.com, Malaysia mencatat skor sebanyak 46.6 bagi tahap ketahanan Covid-19 di dunia sekali gus menjadikan negara itu berada di carta ketiga terbawah.
Berdasarkan ranking tersebut, Malaysia mencatatkan 10.8 peratus bagi kadar vaksinasi Covid-19 manakala memperoleh skor 65 bagi pelaksanaan perintah berkurung akibat pandemik tersebut.
Singapura pula berada di kedudukan ke-13 dalam carta tersebut dengan mendapat skor sebanyak 67 bagi tahap ketahanan Covid-19.
Kadar vaksinasi Covid-19 di Singapura pula mencapai sebanyak 44.1 peratus manakala negara republik itu mencatatkan skor 58 bagi pelaksanaan perintah berkurung.
Negara jiran lain, Thailand dan Indonesia berada di kedudukan atas Malaysia, dengan masing-masing mencatatkan skor sebanyak 54.1 dan 48.2 bagi tahap ketahanan Covid-19 dalam carta tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua negara itu mencatatkan kadar vaksinasi Covid-19 lebih rendah berbanding Malaysia iaitu Thailand pada 6.4 peratus sementara Indonesia (7.4 peratus).
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat pertama dengan mencatatkan skor sebanyak 76 dalam carta tersebut.
New Zealand berada di tempat kedua dengan mencatatkan skor 73, diikuti Switzerland di kedudukan ketiga (72.9), Israel (keempat, 72.9), Perancis (kelima, 72.8).
Sepanyol pula menduduki tempat keenam dengan skor 72 manakala Australia (ketujuh, 70.1), China (kelapan, 69.9), United Kingdom (Kesembilan, 68.7) dan Korea Selatan di tangga ke-10 dengan skor 68.9.
AS bagaimanapun hanya mampu mencapai kadar vaksinasi Covid-19 sebanyak 50.3 peratus, lebih rendah berbanding Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu 70 peratus, Israel (59.1 peratus), Chile (58.1 peratus) dan United Kingdom (57.1 peratus). – AGENSI










