KUALA LUMPUR: Kerajaan didakwa hanya bertindak ibarat memberi ‘gula-gula’ untuk mendiamkan doktor lantikan kontrak dari meneruskan mogok yang dirancang bermula Isnin depan.
Penambahbaikan faedah dan lanjutan tempoh perkhidmatan mereka juga bukan jalan penyelesaian terbaik khususnya untuk jangka masa panjang memandangkan negara masih kekurangan tenaga kerja perubatan.
Jurucakap gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Umar Baraka bertegas dan mengulangi pendirian bahawa sekumpulan doktor kontrak tetap meneruskan mogok minggu depan.
Ini kerana, katanya, tuntutan utama gerakan tersebut iaitu ketetapan yang jelas berkenaan lantikan tetap mereka ke dalam perkhidmatan tetap kerajaan masih belum diputuskan.
“Perjuangan ini tidak akan terhenti pada 26 Julai sahaja tetapi, ini hanya permulaan selagi menteri tidak memberikan perhatian sepenuhnya kepada kami. Mungkin juga selepas ini ada hartal 2.0 atau bergerak kepada sesuatu yang lebih daripada itu.
“Kami doktor kontrak menanggung beban dan tidak tahu pun hala tuju. Sebelum ini, menteri jumpa Persatuan Perubatan (MMA) sahaja tetapi kami tidak dibawa berbincang padahal kami yang menyuarakan isu ini,” katanya semasa sidang akbar secara dalam talian hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya memaklumkan berkenaan penambahbaikan faedah-faedah pegawai perubatan kontrak seperti kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas mereka yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama bagi memastikan doktor kontrak melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika dihubungi semalam memberitahu semua pihak terutama doktor lantikan kontrak untuk mengikuti dahulu keputusan yang telah ditetapkan oleh Kabinet.- UTUSAN ONLINE










