KANGAR: Penduduk di Kampung Kuala Sanglang di sini, akan diberikan kad khas yang dikeluarkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut bagi mengawal pergerakan keluar masuk di lorong tikus di kawasan berkenaan.
Kad khas yang diedarkan bermula hari ini kepada seorang individu di setiap rumah itu akan mempunyai cop rasmi JPKK yang sekali gus dapat memudahkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang mengawal di lorong tersebut mengenalpasti jika ada indvidu dari luar cuba lolos ke negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, langkah tersebut diambil selepas pihaknya mengesyaki terdapat cubaan merentas negeri melibatkan individu dari luar melalui lorong tikus di sekitar Kuala Sanglang di sini menjelang Hari Raya Aidildha.
Ujarnya, pihaknya menerima maklumat terdapat individu yang membawa masuk penumpang yang bukannya penduduk tempatan untuk masuk ke Perlis.
“Selain mengetatkan kawalan di lorong tikus dengan menempatkan dua anggota Rela yang bertugas secara tetap di sana, kita juga telah berbincang JPKK menyediakan kad khas kepada penduduk. Oleh itu, kita ada kenal pasti siapa penduduk sini siapa individu luar.
“Ada maklumat kita terima mengatakan ada nampak perkara ini berlaku (cubaan rentas negeri menggunakan laluan tikus). Penduduk kampung kenal siapa orang Kampung Kuala Sanglang dan siapa orang luar.
“Setakat ini belum ada lagi laporan, namun sekiranya ada berlaku, penduduk kampung dapat memberi maklumat kepada polis,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lorong tikus di pekan Kuala Sanglang di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Sanglang, Mazlan Othman berkata, terdapat 285 rumah penduduk Melayu dan 69 rumah penduduk Cina di kawasan tersebut.
“Penduduk bimbang peningkatan kes di negeri-negeri luar dan takut jika ada orang luar yang cuba merentas negeri menggunakan motosikal.
“Dengan adanya anggota Rela yang mengawal di laluan masuk selain kad khas sedikit sebanyak dapat mengawal orang yang keluar masuk,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










