Kaburi mata polis 'Chinese tea' rupanya syabu - Utusan Malaysia

Kaburi mata polis ‘Chinese tea’ rupanya syabu

MOHD. ZAIDI ABDULLAH (tengah) menunjukkan rampasan dadah dan barang kemas dalam satu serbuan di Suria Inanam, Kota Kinabalu semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Taktik pengedar dadah yang cuba mengaburi mata polis barang yang dibawa kononnya chinese tea terbongkar apabila  pemeriksaan mendapati ia merupakan dadah jenis syabu dengan nilai  kira-kira RM700,000. 

Dalam serbuan pada pukul 2.40 petang semalam, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 32 tahun yang sedang melakukan transaksi pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, ketika ditangkap salah seorang suspek sedang memegang beg yang berisi dadah jenis syabu seberat 3.02 kilogram yang dianggarkan bernilai RM109,925 mengikut harga pasaran tempatan.

Katanya, dadah sebanyak itu mampu memenuhi permintaan kira-kira 15,000 orang penagih dadah pada satu-satu masa.

“Turut dirampas di tempat kejadian adalah dua jenis kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan bagi transaksi pengedaran dadah tersebut.

“Hasil tindakan susulan membawa kepada rampasan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda, jam tangan berjenama serta barang kemas seberat 383 gram dan kesemuanya bernilai kira-kira RM600,000.

“Kita percaya barang kemas yang dirampas adalah hasil daripada jualan dadah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambah Mohd. Zaidi, dadah yang dirampas didapati disembunyikan dalam plastik ‘Chinese tea’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Mohd. Zaidi berkata, dadah itu dipercayai dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran tempatan di pusat bandaraya ini.

Sindiket pengedaran dadah ini dijangka sudah dilakukan selama sebulan berdasarkan risikan yang dilakukan.

Tambah beliau, berdasarkan pengalamannya ketika bertugas di BSJN, sindiket pengedaran dadah ini tahu cara menyimpan dadah agar tidak dapat dikesan menggunakan sistem pengesanan barang di lapangan terbang.

Menurutnya, cara pembayaran transaksi dadah masih disiasat kerana pasukan BSJN IPD Kota Kinabalu tidak menemui sebarang wang tunai semasa serbuan tapi, ada beberapa resit transaksi bank yang dirampas daripada salah seorang saksi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya