Jangan kait SPRM sebagai senjata politik - Utusan Malaysia

Jangan kait SPRM sebagai senjata politik

MOHD. AZMIR MOHD. NIZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) tidak seharusnya menimbulkan isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat untuk menekan ahli politik yang tidak menyokong kerajaan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah berkata, SPRM berhak melakukan siasatan terhadap mana-mana individu selaras status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.

Menurutnya, ia adalah proses biasa dalam perundangan negara dan seseorang yang disiasat itu masih tidak terbukti bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Kenyataan MPPH ini dilihat lebih kepada agenda politik dan tentunya ada tatacara tertentu digunakan oleh SPRM untuk melakukan siasatan malah kes siasatan membabitkan ahli politik bukannya perkara baharu di negara ini.

“Sebagai contoh, kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa pemimpin politik lain termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Adalah satu perkara yang tidak baik dengan mengaitkan kerajaan menggunakan agensi tertentu untuk mendakwa ahli politik terbabit sekali gus memberikan persepsi negatif kepada agensi yang dimaksudkan sedangkan siasatan dibuat berdasarkan kepada bukti yang ada,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan oleh MPPH di sini, hari ini.

MPPH dalam kenyataannya kesal apabila agensi-agensi kerajaan seperti SPRM terus diperalat sebagai senjata politik untuk menekan ahli-ahli Parlimen yang menjadi musuh atau enggan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Mohd. Azmir memberitahu, MPPH seharusnya memberikan penekanan atau tumpuan kepada usaha-usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini berbanding kepada isu politik semata-mata.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan undang-undang dana politik bagi mengelak berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan projek kerajaan atau pertubuhan politik di negara ini.

“Ini kerana isu mengenai agensi kerajaan digunakan untuk menekan ahli politik yang tidak menyokong kerajaan akan terus berulang setiap kali ada ahli politik yang disiasat, seolah-olah tiada jalan penyelesaian. 

“Cadangan mengenai dana politik ini sudah lama dibincangkan dan sepatutnya dilaksanakan kerana ia mampu membuktikan penerimaan dana dengan lebih telus.

“Dana politik ini memang banyak cuma wujud ketakutan dalam kalangan ahli politik kerana mereka mungkin tidak boleh mengambil kesempatan daripada dana yang diperoleh selain tiadanya kesungguhan atau political will dalam kalangan ahli politik terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya