Jangan halang kenderaan bawa hasil pertanian - Utusan Malaysia

Jangan halang kenderaan bawa hasil pertanian

ABDUL Razak Khasbullah (kanan) mendengar keluhan pemandu lori Peladang yang tidak boleh melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) disebabkan tiada surat MITI di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor. - UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa memudahkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan pergerakan pengangkutan yang membawa hasil pertanian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kerja pengagihan hasil pertanian didakwa berhadapan kesukaran apabila dihalang daripada daripada membuat penghantaran ketika melalui pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) walaupun menunjukkan surat kebenaran daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Masalah itu dinyatakan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr.Abdul Razak Khasbullah yang mendakwa tindakan menghalang pengangkutan yang menghantar hasil tani tersebut adalah tindakan memutuskan rantaian agro-makanan negara.

“Sepatutnya isu pergerakan melalui SJR melibatkan hasil tani cukup dengan surat daripada MAFI sebagai pembekal makanan negara.

“Kita berharap kelonggaran tersebut diberi memandangkan pengangkutan ini penting bagi menggerakkan rantaian makanan negara dengan berkesan,” katanya kepada pemberita di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Teluk Panglima Garang hari ini.

Terdahulu, Polis Daerah Kuala Langat mengumumkan lapan SJR akan diwujudkan di Kuala Langat selaras PKPD bagi mengekang pandemik Covid-19 di daerah tersebut.

Abdul Razak berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memohon surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) namun merayu kepada MKN agar surat dari agensi MAFI turut boleh diguna pakai untuk melepasi SJR.

Katanya lagi, peranan MAFI dalam memastikan bekalan makanan negara terus terpelihara sewajarnya menjadi pertimbangan pihak MKN dalam memberi akses kepada pengangkutan hasil tani di seluruh kawasan PKPD.

Mengulas lanjut beliau berkata, Pasar Segar Terkawal (PST) di PPHL juga terkesan apabila 8 SJR diwujudkan di kawasan Kuala Langat.

“Saya berharap kelonggaran diberi kepada orang ramai untuk melalui SJR ke PST di sini. Perolehan harian PST jatuh 50 peratus sejak PKPD bermula ahad lalu,” katanya.

Beliau menambah, PPHL Kuala Langat bukan sahaja menerima hasil ladang dari daerah ini malahan 870 petani seluruh negara menghantar hasil tani ke pusat tersebut.

Ujarnya lagi, sewajarnya surat dari MAFI dibenarkan di setiap SJR kerana selama ini pengangkutan dan pengedaran hasil tani dibuat dengan SOP yang dikeluarkan MKN. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN