Jangan ‘curi-curi’ balik kampung; 4,839 kenderaan diarah berpatah balik - Utusan Malaysia

Jangan ‘curi-curi’ balik kampung; 4,839 kenderaan diarah berpatah balik

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak cuba ‘curi-curi’ pulang ke kampung dengan merentasi negeri bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah berkata, sebanyak 4,839 buah kenderaan diarah berpatah balik pada Jumaat lalu kerana didapati mahu balik ke kampung.

“Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan itu paling tinggi dicatatkan sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan pada 29 Jun lalu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Semalam sahaja, ujar beliau, pihak polis melaporkan sebanyak 381,952 buah kenderaan telah diperiksa melalui sekatan jalan raya di seluruh negara bagi mengekang percubaan rentas itu.

Anggota dan petugas keselamatan negara jelasnya, diarah bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan kenderaan yang mahu merentas tanpa kebenaran polis menjelang perayaan ini.

Beliau turut merujuk peningkatan kes serta kemunculan banyak kluster baharu disebabkan aktiviti pergerakan rentas negeri dan ziarah ketika musim Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu.

“Perkara tersebut perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambah beliau.

Ismail Sabri menegaskan bahawa rakyat perlu kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain dalam usaha bersama memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Dalam pada itu, sejumlah 62 premis yang meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan di seluruh negara diarahkan ditutup Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.

Tambah beliau, pasukan tersebut semalam melaksanakan pemeriksaan ke atas 1,993 kilang, 16,569 premis perniagaan, 506 tapak pembinaan dan 243 asrama penempatan pekerja.

Keseluruhannya ujar Menteri Pertahanan itu, mereka melakukan 74,793 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan jumlah kekuatan seramai 19,645 anggota dari pelbagai agensi.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam apa juga situasi kerana yang menjadi keutamaan ketika ini adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat, sekali memberi amaran, jika ada premis masih berdegil, tindakan keras termasuk tutup serta-merta akan dikenakan ke atas pemiliknya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya