PASIR GUDANG: Sebuah jambatan lama yang merintangi kuala Sungai Kim Kim di Kampung Bukit Pulai, di sini sudah tidak sesuai digunakan lagi ekoran tidak dapat menampung aliran air ketika hujan lebat sehingga mengundang risiko banjir.
Ia berikutan, dua buah konkrit yang menjadi struktur asas binaan jambatan itu tidak lagi praktikal dengan saiznya yang kecil dan menyebabkan sampah atau sisa-sisa tidak melepasi jambatan itu sebelum akhirnya menyekat laluan air.
Justeru, penduduk di kampung berkenaan, Adli Suri Rabu 49, amat berharap jambatan tersebut dinaik taraf atau diganti baharu kerana sering berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat.


“Setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir hingga memasuki rumah penduduk di kampung seperti baru-baru ini akibat hujan lebat berterusan selama dua jam yang memaksa penduduk berwaspada apabila air mula naik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Norazam Ross, 49, turut berharap Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memandang serius masalah banjir yang sering berlaku di situ hanya kerana keadaan jambatan yang sempit dan perlu dinaik taraf segera.
Menurutnya, jambatan tersebut juga merupakan jalan alternatif buat penduduk di sekitar Taman Pasir Putih dan Taman Kota Masai.
Sementara itu, Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Sabarudin Burahan yang juga bekas ahli majlis MBPG berharap, pihak yang bertanggungjawab dapat menaik taraf jambatan itu.
Menurutnya, ketika menjadi ahli majlis Zon Taman Kota Masai 3 dahulu, dia telah menghantar kertas cadangan agar segera di naik taraf jambatan tersebut kerana sering berlaku banjir setiap kali hujan lebat.
“Saya berharap kertas cadangan tersebut diberi perhatian serius oleh pihak MBPG dan Datuk Bandar supaya jambatan ini dinaik taraf atau diganti baharu,” katanya.
Terdapat kira-kira 38 buah rumah dengan 180 penduduk yang mendiami Kampung Bukit Pulai. -UTUSAN ONLINE










