PETALING JAYA: Jasa dan sumbangan wartawan alam sekitar terkenal, Datuk Karam Singh Walia dalam meningkatkan kesedaran masyarakat melalui laporan-laporannya akan terus dikenang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang yang menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi tadi.
Beliau berkata, pemergian Karam Singh merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kewartawanan negara.
Katanya, mendiang dikenang sebagai seorang tokoh yang komited dalam membawa isu-isu alam sekitar ke perhatian umum dengan gaya penyampaian tersendiri yang kekal dalam ingatan ramai.
“Kemunculan beliau di kaca televisyen, khususnya dalam laporan lapangan sentiasa menjadi tarikan. Susunan ayat, gaya penyampaian dan personaliti beliau yang unik menjadikan mendiang antara figura yang dekat di hati penonton suatu ketika dahulu.
“Jasa dan sumbangan beliau dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar akan terus dikenang dan dihargai.
“Kepada keluarga mendiang, saya doakan agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. – UTUSAN










