PETALING JAYA: Jika jajaran baharu politik yang cuba dibina UMNO menyebabkan pergolakan dalam kalangan pemimpinnya, kali ini giliran PKR pula yang dilihat berpecah.
Ia ketara apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertindak menyingkirkan Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi dan Ketua AMK Perlis, Nor Azam Karap daripada barisan kepimpinan tanpa merujuk kepada pucuk pimpinan terlebih dahulu.
Untuk rekod, Najwan Halimi dan Nor Azam antara pemimpin yang sering mengeluarkan kenyataan senada dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuka pintu kepada UMNO untuk bekerjasama.
Ia termasuklah Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman yang sering mengeluarkan kenyataan cenderung memihak kepada UMNO selari dengan pendirian Anwar.
Kumpulan ini difahamkan diketuai orang kanan Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Farhash yang juga Setiausaha Politik Anwar kini berseteru dengan Akmal Nasir dan sengketa di antara mereka dikatakan terus membarah dengan penyingkiran pengikut Farhash.
Bagaimanapun, Najwan sebelum ini berkata, beliau akan bertemu sendiri dengan Ketua Pembangkang untuk membangkitkan isu pemecatannya itu.
Malah, Najwan juga kini dipercayai sedang mengumpul kekuatan untuk menyingkirkan Akmal dan menggesa supaya mengadakan ‘rombakan strategik’ sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tindakan berani Akmal itu mengejutkan banyak pihak sehingga menimbulkan spekulasi bahawa parti itu mungkin akan berpecah dua.
Namun, tindakan sebegitu tegas daripada Akmal itu dikatakan mendapat restu daripada pemimpin tertentu dalam PKR sendiri kerana adalah mustahil untuk beliau mengambil tindakan sendiri terhadap kumpulan yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden PKR.
Walaupun berisiko, Akmal lebih mengutamakan nasihat pemimpin terbabit yang dikatakan ‘membantunya naik’ sehingga menjadi Ketua AMK Nasional.
Lagipun, kem itu masih berpegang teguh dengan idealisme parti iaitu menolak perasuah atau kleptokrat yang merosakkan negara, sekali gus bertentangan dengan kumpulan pro-Anwar dalam PKR yang diuar-uarkan menaruh keyakinan tinggi pada perkhabaran “Anwar semakin menghampiri tampuk kuasa di Putrajaya”.
Kem penentang dilihat tidak dapat menerima tindakan Anwar yang berterusan berunding dengan kumpulan ‘kluster mahkamah’ untuk membentuk kerajaan bersama, apatah lagi mengangkat Presiden UMNO sebagai orang nombor dua jika berjaya membentuk kerajaan nanti.
Kemelut dalam PKR itu dilihat akan membantutkan cita-cita Anwar sekali lagi untuk menjadi Perdana Menteri akibat sekatan daripada Akmal dan golongan yang menentang kleptokrat.
Jika ia benar berlaku, ini bermakna Akmal umpama bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang dikatakan telah menggagalkan usaha Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Adakah sekali lagi orang kepercayaannya akan menggagalkan usaha beliau? -UTUSAN











