Integrasi tanaman padi, udang galah tingkat pendapatan pesawah - Utusan Malaysia

Integrasi tanaman padi, udang galah tingkat pendapatan pesawah

DR. RONALD Kiandee (kiri) dan Ahmad Hamzah ketika meninjau pelaksanaan tanaman padi menerusi kaedah SMART SBB di Felcra Seberang Perak dekat Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkenalkan projek rintis integrasi tanaman padi dan ternakan udang galah untuk menambah pendapatan pesawah.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, program tersebut akan dilaksanakan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan kerjasama syarikat Thirty Three Management Sdn. Bhd.

Menurutnya, projek itu yang turut dirancang untuk diusahakan di kawasan IADA Pekan dan Rompin di Pahang dijangka memberi pulangan melebihi RM10,000 bagi hasil jualan padi dan udang galah bagi keluasan satu hektar berbanding hasil padi dengan purata anggaran sekitar RM5,000 pada keluasan yang sama.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang akan menambahkan pendapatan kepada pesawah melalui hasil tuaian padi dan juga udang galah.

“Padi akan diusahakan selama tiga bulan atau lebih kurang 100 hari manakala udang galah pula lima bulan dan ini akan menghasilkan pendapatan tambahan kepada pesawah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan tanaman padi menerusi kaedah SMART SBB di Felcra Seberang Perak di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood.

Menurut Ronald, berdasarkan taklimat oleh syarikat yang mengendalikan projek integrasi tersebut, pendapatan udang galah merupakan satu unjuran yang menggalakkan serta menguntungkan kepada pesawah.

Beliau berkata, ia merupakan projek perintis yang akan dipantau bagi melihat kesesuaian dan keberkesanannya dari segi hasil dan sebagainya.

“Sekiranya projek ini menguntungkan, sudah pasti ia akan diperluaskan tetapi bergantung kepada dapatan daripada projek rintis yang diusahakan di Seberang Perak,” katanya.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan program Smart SBB di Felcra Seberang Perak, Ronald berkata, pihak FGV Integrated Farming Holdings Bhd. merupakan salah sebuah syarikat peneraju akan memfokuskan kepada penanaman padi wangi MRQ76.

Beliau berkata, penanaman padi wangi ini akan memberikan pulangan tinggi iaitu sebanyak RM1,540 per metrik tan berbanding padi putih RM1,200 per metrik tan kepada pesawah.

Katanya, FGV Holdings Berhad juga telah membangunkan sistem Fragrance Rice Fortified Field atau singkatannya 3FR, yang direka khusus bagi pesawah-pesawah melalui pertanian kontrak.

“Sistem 3FR ini akan mengintegrasikan aktiviti penanaman padi dengan amalan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil tuaian dan kecekapan produktiviti pesawah selain ia diselarikan dengan konsep Pertanian Tepat .

“Pesawah yang terlibat dalam program Smart SBB bebas menanam mana-mana varieti padi yang dipersetujui bersama syarikat peneraju sama ada padi putih, padi hibrid, padi wangi atau padi organik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya