Ibu tunggal, tiga anak huni bangsal - Utusan Malaysia

Ibu tunggal, tiga anak huni bangsal

MARIYANI Ismail bersama tiga anaknya tinggal di bangsal yang diubah suai menjadi rumah di Kampung Sena, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seorang ibu tunggal dan tiga anak perempuannya terpaksa mendiami sebuah bangsal yang diubah suai menjadi rumah sejak empat tahun lepas kerana kesempitan hidup.

Menurut Mariyani Ismail, 42, dari Kampung Sena, Kuala Nerang di sini, dia mengubah suai sendiri bangsal berkenaan yang terletak di belakang rumah keluarganya setelah berpindah ke kampung untuk memulakan kehidupan baharu setelah berpisah dengan bekas suaminya.

Katanya, rumah tersebut hanya mempunyai ruang tamu kecil yang juga menjadi tempat mereka tidur, dapur serta bilik air dan walaupun sempit, namun, rumah tersebut kelihatan kemas.

“Pada mulanya, saya menetap dengan keluarga terdekat, tetapi, lama-lama, rasa nak tinggal sendiri kerana tidak mahu ganggu keluarga tersebut. Nak sewa luar memang tak mampu kerana saya kerja kedai makan dengan upah RM30 saja sehari.

“Bangsal ini dulu tempat kami letak barang-barang terpakai. Saya baiki sikit demi sikit, tukar dinding, bumbung dan buat bilik air, simen lantai.

“Semuanya dengan kudrat saya dan akhirnya sempurna juga daripada bangsal jadi rumah kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurut Mariyani, pada masa ini, dia berniaga secara dalam talian dengan menjual kosmetik dan mengambil tempahan biskut kerana dengan berniaga sendiri saya senang menguruskan anak terutama ketika mereka bersekolah.

Jelasnya, hasil pendapatan yang diperoleh itu terpaksa berjimat cermat untuk perbelanjaan harian dan persekolahan tiga anak perempuannya, Siti Nuraima Syahira Mohd. Sobri, 18, Siti Nuraina Syahirah, 13 dan Siti Nurzakirah, 9.

“Nuraima kini belajar di Kolej Vokasional Arau, Perlis, sementara Nuraina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang dan Nurzakirah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bakti.

“Namun saya bersyukur kerana anak-anak dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan, jadi wang itu bolehlah serba sedikit tampung belanja sekolah mereka,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, dia juga berhasrat memohon bantuan rumah daripada pejabat zakat untuk membolehkan mereka sekeluarga tinggal dengan rumah lebih selesa.

Mereka yang ingin membantu empat beranak ini boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun BSN Mariyani Ismail, 0213841000029672.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN