PUTRAJAYA: Pembukaan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tidak diteruskan, sebaliknya mengoptimumkan penggunaan katil di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) yang dilihat lebih baik dari segi pengoperasiannya.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, keupayaan HATTM lebih baik berbanding hospital medan yang dinyatakan sebelum ini yang sudah pun dilengkapi kemudahan bangunan sedia ada.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihak kementerian akan menambah katil baharu di HTAR bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 di sekitar Lembah Klang.
“Kita pindahkan hospital (hospital medan) itu ke Hospital Tuanku Mizan (HATTM). Kita akan optimumkan penggunaan sumber yang ada, sehingga kini terdapat 150 katil di hospital berkenaan.
“Jadi, kita memutuskan untuk tingkatkan sumber sedia ada dengan penambahan katil baharu di HTAR, ini kerana kita melihat keupayaan HATTM lebih baik berbanding hospital medan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM bagi menguruskan pandemik Covid-19 di Lembah Klang, malam tadi disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin mengumumkan satu lagi pembukaan hospital medan di HTAR bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor.
Dalam pada itu, Adham berkata, pihaknya turut melaksanakan penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bertujuan meningkatkan kapasiti katil di hospital awam.
Beliau berkata, proses itu akan melibatkan pesakit yang tidak dijangkiti akan dihantar ke hospital swasta berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Jadi, melalui proses ini, lebih banyak katil yang boleh disediakan bagi merawat pesakit Covid-19. Hospital yang terbabit dalam penyumberluaran ini termasuklah negeri yang berhampiran dengan Lembah Klang iaitu Melaka, Perak, Pulau Pinang, Johor selain di Sarawak.
“Bagaimanapun, proses penyumberluaran hanya membabitkan hospital yang merawat Covid-19 di Selangor yang merangkumi Hospital Ampang; Hospital Serdang; Hospital Shah Alam; Hospital Kajang; Hospital Banting; Hospital Tengku Ampuan Rahimah; Hospital Selayang; Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan proses penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 tidak membabitkan hospital daerah pada masa ini, namun, jika berlaku keadaan hospital sesak, maka, hospital daerah akan diguna pakai.
Adham berkata, sebanyak 112 hospital swasta bersedia merawat pesakit Covid-19 di hospital mereka membabitkan 1,277 katil dan 129 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 383 katil adalah di Selangor dan setakat ini 122 pesakit sudah dirawat atau meliputi 70 peratus.
Di Kuala Lumpur pula, katanya, sebanyak 76 peratus atau 107 pesakit daripada jumlah keseluruhan 202 katil
Bagi negeri-negeri lain pula untuk penggunaan katil swasta yang digunakan di negeri lain pula ialah Pulau Pinang 35 peratus; Johor (29 peratus); Pahang (17 peratus); Melaka (10 peratus); Perak (enam) dan Negeri Sembilan (lima peratus). -UTUSAN ONLINE