PUTRAJAYA: Status enam negeri yang ketika ini sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu mengekalkan momentum dalam pencapaian ketiga-tiga indikator yang ditetapkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tiga indikator itu ialah purata tujuh hari kes harian, tahap penggunaan kapasiti wad unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.
Jelas beliau, aktiviti pencegahan dan pengawalan perlu diteruskan bagi memastikan pencapaian itu tidak menurun sekali gus boleh segera beralih kepada fasa seterusnya iaitu pada Fasa 3.
“Enam negeri ini boleh menjadi contoh kepada negeri lain dan negeri-negeri ini perlu kekal momentum supaya cepat untuk beralih ke Fasa 3. Jadi mereka perlu kekal momentum aktiviti pencegahan dan pengawalan,” katanya di sini semalam.
Pulau Pinang menjadi negeri keenam peralihan kepada Fasa 2 PPN selepas Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang bermula Isnin lalu sekali gus membolehkan negeri-negeri terbabit dapat menikmati pelbagai kelonggaran ekoran peralihan fasa baharu.
Negeri-negeri berkenaan merekodkan penurunan purata kes harian Covid-19 sehingga 50 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan PPN.
Nilai ambang diukur berdasarkan tiga indikator iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu mengumumkan pelaksanaan PPN sebagai strategi peralihan keluar menerusi empat fasa daripada krisis wabak Covid-19.
Pada masa sama, Adham optimis, kejayaan enam negeri itu boleh memberi motivasi kepada negeri lain untuk memerangi wabak dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat memandangkan pelaksanaan PPN tidak menetapkan sebarang tarikh khusus sebagai sasaran.
Dengan cara itu katanya, rakyat di setiap negeri akan lebih bersemangat untuk cepat keluar dari Fasa 1 agar mereka dapat masuk pula ke Fasa 2 dan seterusnya hingga tamat Fasa 4.
Adham berkata, penilaian indikator PPN dipantau dari semasa ke semasa dan peralihan fasa bagi setiap negeri dan Wilayah Persekutuan dipantau secara berterusan.
Justeru, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing terus mematuhi SOP ditetapkan, sentiasa mengamalkan kebiasaan baharu dan perlu saling mengingati sesama sendiri dan ahli komuniti supaya bilangan kes Covid-19 kekal rendah dan tidak berlaku kejadian kluster. -UTUSAN










