DUN Sabah tidak berisiko bubar secara automatik - Utusan Malaysia

DUN Sabah tidak berisiko bubar secara automatik

KADZIM M. YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan dibubarkan secara automatik biarpun tidak bersidang dalam tempoh yang ditetapkan.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya berkata, persidangan DUN tidak berhadapan risiko pembubaran automatik sekiranya tidak bersidang sebelum 1 Ogos ini.

Beliau berkata, dibawah Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan DUN Sabah hendaklah bersidang dalam tempoh enam bulan dari tempoh terakhir sidang yang lalu.

Namun, Seksyen 15 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kusa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian kepada Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah.

Berdasarkan kenyataan itu, dakwaan DUN Sabah akan dibubarkan secara automatik jika tidak bersidang sebelum 1 Ogos ini adalah tidak benar.

“Justeru, orang ramai diminta supaya tidak keliru disebabkan DUN Sabah belum mengadakan persidangan sejak Persidangan Belanjawan Negeri 2021 pada Disember 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kadzim berkata, DUN Sabah bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa dan hanya menunggu kerajaan negeri menetapkan tarikh bagi pembukaan semula sidang berkenaan.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyatakan kerajaan negeri perlu mengadakan persidangan DUN sebelum 1 Ogos bagi mengelakkan pembubaran DUN secara automatik.

Beliau berkata, kerajaan dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor mesti bersidang sebelum tengah malam 1 Ogos atau sebelum Darurat tamat.

Tambah beliau, persidangan terakhir DUN adalah pada 23 Disember 2020, ini bermakna tempoh enam bulan itu daripada persidangan terakhir sudah tamat. Persidangan DUN juga perlu diadakan sebelum Parlimen bersidang pada 25 Julai ini.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN