Dr. Adham turut bantu permudah impian Hidilyn Diaz dapat emas di Olimpik Tokyo - Utusan Malaysia

Dr. Adham turut bantu permudah impian Hidilyn Diaz dapat emas di Olimpik Tokyo

DR. ADHAM BABA dan HIDILYN DIAZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Mungkin tidak yang mengetahui bahawa di sebalik kejayaan jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz merangkul emas pertama buat negaranya di Sukan Olimpik Tokyo 2020,  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba turut membantu mempermudahkan impian wanita itu.

Dr. Adham abertanggungjawab membantu Diaz menerima suntikan vaksin AstraZeneca bagi membolehkan atlet angkat berat itu dapat berangkat ke Tokyo, Jepun untuk menyertai temasya sukan tersebut.

Menurut maklumat Pejabat Menteri Kesihatan, Duta Besar Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose sebelum ini menghantar surat kepada Dr. Adham dan diberikan kelulusan segera oleh Menteri Kesihatan untuk membantu atlet berkenaan yang pada ketika itu sedang menjalani latihan di Jasin, Melaka.

Diaz dan pasukannya sebelum ini terkandas di Malaysia sejak tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kisah kemenangan atlet angkat berat Filipina itu dalam sukan Olimpik Tokyo 2020 mencuri perhatian apabila muncul atlet pertama negara itu memenangi pingat emas pada temasya sukan berkenaan.

Bukan sahaja itu, kisahnya terkandas di Malaysia sejak tahun lalu berikutan pelaksanaan PKP sehingga terpaksa menjadikan garaj rumah keluarga angkatnya di Jasin sebagai lokasi latihan juga, menarik perhatian dunia melalui acara angkat berat wanita kategori 55 kg.

Tersangkut di Malaysia sejak Februari tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19, Diaz pada mulanya agak resah terpaksa berlatih di gimnasium sementara yang dikelilingi pokok pisang dan rambutan, tempat latihan yang mustahil mampu memberikan emas kepadanya di Olimpik Tokyo.

Diaz, 30, pemenang pingat di Olimpik Rio 2016, walaupun tersangkut di Malaysia tetapi tetap bertekad untuk merealisasikan impiannya menjadi pemenang pingat emas Olimpik pertama dari Filipina.

Jaguh dunia itu melakukan angkatan seberat 224 kg untuk mengatasi wakil China, Liao Qiuyin, dan atlet Kazakhstan, Zulfiya Chinshanlo, bagi mengungguli acara berkenaan dengan memecahkan rekod Sukan Olimpik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya