KOTA KINABALU: Biar pun daerah lain di Sabah ‘sepi’ tanpa sebarang protes Hartal Doktor Kontrak namun, situasi berbeza dapat dilihat di dua hospital di ibu negeri.
Kira-kira 17 orang doktor kontrak dan pegawai perubatan tampil melakukan perhimpunan aman di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Hospital Queen Elizabeth.
Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Dr. Marcus Netto berkata, terdapat kira-kira 12 hingga 15 doktor kontrak menyertai perhimpunan aman hari ini.
Bagaimanapun, perhimpunan yang diadakan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi berjalan secara aman dan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.
Protes secara aman turut diadakan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang membabitkan dua pegawai perubatan wanita yang tampil berbaju hitam sambil memegang plakad.
Kehadiran dua pegawai perubatan yang berusia 20-an ini hanya dilihat pada pukul 11.52 pagi tadi di lobi utama HQE.
Kedua-dua wanita yang enggan mendedahkan nama mereka dilihat bergerak turun dari lobi utama menuju ke kawasan parkir kenderaan sambil memegang plakad yang tertera #hkontrak dan ‘we are your future specialists’ (kami adalah bakal doktor pakar anda).
Sementara itu, di Hospital Tawau tiada pergerakan beramai-ramai membabitkan doktor kontrak berlaku hingga 12 tengah hari tadi.
Bagi Pegawai Perubatan kontrak Abraham Hsieh Lih Xian, dia hanya tahu mengenai protes aman Hartal Doktor Kontrak itu melalui media sosial namun, protes itu tidak melibatkan semua doktor kontrak di Malaysia.
“Bagaimanapun di Hospital Tawau, saya tidak mendengar ada perhimpunan aman sebegini seperti yang dijadualkan berlaku,” katanya.
Jelas beliau, ketika ini semua doktor kontrak di hospital itu masih bekerja merawat pesakit dan tidak mengabaikan pesakit semata-mata mahu mengikuti protes aman sebegitu.
Protes Hartal Doktor Kontrak ini dijadualkan berlaku secara serentak di seluruh negara pada 11 pagi ini melibatkan 24 hospital termasuk dua hospital di Sabah iaitu HQE dan Hospital Tawau.
Perhimpunan aman ini diadakan bagi menuntut dua perkara iaitu penyerapan ke jawatan tetap dan penjelasan mengenai kriteria bagi penyerapan 23,000 doktor kontrak yang sedang berkhidmat di seluruh negara pada masa ini.
Pada 24 Julai lalu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak menyatakan akan menemui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya tuntutan doktor kontrak diserap ke jawatan tetap tidak dilayan selepas mogok pada Isnin.- UTUSAN ONLINE










