PETALING JAYA: Walaupun Menteri Kesihatan memberi jaminan tiada tindakan akan dikenakan ke atas doktor yang menyertai Gerakan Hartal Doktor Kontrak, namun mereka tetap berdepan dengan pelbagai bentuk ugutan sejak mengadakan mogok di seluruh negara kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Umar Baraka berkata, ada dalam kalangan mereka yang dipanggil beberapa kali untuk memberi keterangan tetapi belum menerima surat tunjuk sebab setakat ini.
“Kami sedang mengumpul maklumat ketika ini, ada yang dipanggil dua tiga kali untuk memberi keterangan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap mogok tersebut dapat membuka mata kerajaan berhubung tawaran kontrak untuk tempoh dua tahun lagi.
“Kami memang jangka untuk dapat jawatan tetap selepas lima tahun berkhidmat, tetapi ada dalam kalangan kami yang akan habis kontrak dan ada yang mungkin tolak kontrak dua tahun itu kerana masa depannya yang tidak jelas.
“Mesej kami jelas, kami tidak abaikan pesakit dan pada masa sama kami bersikap profesional. Setakat ini, kami tunggu Parlimen bersidang dan keputusan rasmi dari kerajaan. Insya-Allah, kami akan dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Seorang lagi jurucakap, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz juga mengakui mereka berdepan pelbagai bentuk ugutan.
“Ada yang diugut melalui telefon, melalui WhatsApp tapi belum ada yang kemukakan surat tunjuk sebab,” katanya.
Pada masa sama, beliau mempertahankan keputusan hartal doktor kontrak untuk mengadakan mogok besar-besaran.
“Kami hanya mengamalkan hak kami sebagai rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan, mengapa perlu dikenakan tindakan tatatertib? Kami berhak untuk bersuara,” katanya. – UTUSAN










