Covid-19: Malaysia berada di tahap serius - Utusan Malaysia

Covid-19: Malaysia berada di tahap serius

Kakitangan barisan hadapan 'Team Tok Adi' dari Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menguruskan jenazah pesakit covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tun Razak, Bukit Katil. - MINGGUAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes penularan wabak Covid-19 kini berada tahap serius dengan setiap individu di negara ini berpotensi menjadi ejen penyebar dan menjangkiti individu lain.

Pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Yahya Mat Arip berkata, dengan jangkitan sporadik sehingga melebihi 80 peratus dan peningkatan jumlah kluster kilang, penyebaran virus akan lebih meluas dan mudah sehingga berada dalam komuniti.

Sehubungan itu katanya, langkah drastik perlu dilakukan kerajaan termasuk mengurangkan pergerakan ke tahap maksimum atau mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Virus memerlukan perumah dengan cara bergerak melalui perumah. Jika pergerakan perumah kurang, maka kemungkinan virus berpindah dari satu rumah ke rumah lain turun berkurangan. Sebab itulah perlunya ‘lockdown’ untuk mengurangkan pergerakan virus.

“Namun, dengan adanya vaksin secara besar-besaran seperti yang dilakukan, diharapkan kita boleh mengurangkan peningkatan kes dan dalam masa yang sama prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu dipatuhi,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Kes Covid-19 mencatatkan angka tertinggi semalam iaitu 9,353 dengan Selangor masih melebih paras 4,000 sejak beberapa hari lalu.

Tambah Dr. Yahya, kerajaan dalam masa sama perlu memperluaskan penjujukan genom yang akan memberi maklumat berkenaan varian sama ada membabitkan varian asal ataupun varian mutasi seperti Alpha, Beta atau Delta dengan serta merta.

“Berdasarkan maklumat ini kita boleh mengetahui sama ada peningkatan kes harian disumbangkan varian bermutasi atau tidak.

“Selain itu kita juga boleh mengetahui kawasan penularan varian bermutasi ini berlaku. Jika penjujukan genom ini dilakukan dengan meluas kita akan dapat mengukur kadar penularan sekali gus dapat mengambil langkah pengawalan dengan kadar segera,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, penguatkuasaan dengan lebih tegas perlu dilakukan terhadap mana-mana kilang yang mencatatkan kes Covid-19.

“Masalahnya ada pekerja dah disahkan terkena jangkitan dipaksa bekerja dan akhirnya akhirnya berjangkit, mallah ada majikan membawa lari pekerja dan tidak melaporkan kes Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN