RAUB: Bukit Fraser yang merupakan kawasan pelancongan peringkat antarabangsa dijangka dibuka untuk dikunjungi bermula 8 Ogos ini.
Ia akan menjadi kawasan tarikan pelancongan pertama di negeri ini yang akan dibuka sebagai memenuhi konsep gelembung pelancongan.
Bagaimanapun ia tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada membenarkan lokasi itu dibuka atau tidak, kerajaan negeri telah bersedia.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehudin Ishak berkata, Bukit Fraser boleh dibenarkan untuk dikunjungi oleh pengunjung dari dalam dan luar negeri ini kerana keseluruhan penduduk tempatan di situ telah menerima dua dos vaksin wabak Covid-19.
Jelasnya, boleh dikatakan keseluruhan penduduk di situ adalah pengusaha atau pemain industri pelancongan yang akan berdepan dengan pelancong.
“Mereka adalah pekerja di resort, hotel, restoran, kedai makan, tempat rekreasi dan lain-lain yang pastinya akan bergaul dengan kunjungan pelancong.
“Bila mereka sudah divaksin, ia bermakna keberangkalian untuk mereka menerima jangkitan virus penyakit berjangkit adalah tipis.
“Apatah lagi kita meletakkan syarat untuk kemasukan orang luar atau pelancong adalah mereka yang sudah menerima dua dos vaksin beserta perlaksanaan SOP lain,” katanya selepas menyaksikan sekumpulan penduduk tempatan menerima dos kedua dalam program komuniti berkelompok di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram, Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail dan Pemangku Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Tarikh 8 Ogos itu dianggap sesuai untuk Bukit Fraser dibuka untuk dikunjungi selepas 14 hari penduduknya menerima vaksin dos kedua pada hari ini.
Sallehudin berkata, kebenaran Bukit Fraser dibuka untuk dikunjungi bertepatan hasrat kerajaan melaksanakan gelembung pelancongan di mana kawasan tarikan pelancongan dibenarkan beroperasi.
Jelasnya, Pulau Tioman di Rompin akan menyusul dalam siri gelembung pelancongan yang mana ia dijangka pada pertengahan Ogos ini.
“Selepas itu, ia akan diikuti dengan Taman Negara pada awal September apabila kesemua penduduk dan pengusaha pelancongan menerima dos kedua vaksin.
“Untuk Pulau Tioman kerajaan perlu utamakan juga kebenaran untuk dikunjungi pelancong kerana selepas. bulan Oktober, pulau ini berkemungkinan ditutup semula ekoran musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata, Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Taman Negara merupakan kawasan berisiko tinggi untuk musibah seperti banjir atau laut bergelora yang menyebabkan ia mendapat persetujuan kerajaan Pusat untuk penduduknya divaksin segera.
“Sekiranya mereka lambat menerima vaksin dan bila tiba musim banjir, musim hujan dan musim tengkujuh nanti, akan menjadi bertambah sukar untuk proses pemberian vaksin kepada mereka,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE