85.5 peratus penduduk Lembah Klang terima satu dos vaksin - Utusan Malaysia

85.5 peratus penduduk Lembah Klang terima satu dos vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pemberian vaksin terus dipertingkatkan terutama di Lembah Klang di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang bagi mencapai sasaran kesemua 6.1 juta populasi dewasa di dua negeri itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini.

Menurut Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COvid-19 (JKJAV), sebanyak 239,874 dos diberikan dalam tempoh sehari semalam bagi penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor dengan 85.5 peratus populasi dewasa sudah menerima dos pertama manakala 31.1 peratus lengkap dua dos.

Jumlah itu meliputi 552,701 pemberian vaksin di seluruh negara semalam sekali gus merekodkan sebanyak 18,946,048 dos vaksin sudah diberikan setakat ini iaitu 12,841,212 orang (54.9 peratus) dos pertama, 6,104,836 orang (26.1 peratus) dos kedua.

Mana-mana penduduk Lembah Klang yang masih belum mendapat janji temu sebelum 1 Ogos boleh hadir secara walk in untuk mendapatkan vaksin selepas tarikh itu.

Berdasarkan statistik @OurWorldInData, kadar vaksinasi per kapita di Malaysia kini adalah yang terpantas di seluruh dunia. Peratusan penduduk Malaysia yang telah menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos mengatasi Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

Mengikut data JKJAV, pemberian vaksin semenjak permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Februari sehingga bulan Jun lalu adalah sekitar lapan juta dos tetapi bagi bulan ini sahaja sehingga ke hari ini, pemberian vaksin telah melebihi 10 juta dos.

Bagi bulan Julai, sasaran purata yang ditetapkan adalah sebanyak 300,000 suntikan dos sehari. Bagaimanapun, sehingga 27 Julai, purata yang dicapai sepanjang bulan ini adalah sebanyak 378,661 dos sehari iaitu peningkatan 124 peratus.

Fasa 1 (petugas barisan hadapan): 695,000 telah selesai menerima dos lengkap masing-masing yang mana 195,000 lebih tinggi berbanding sasaran awal yang ditetapkan.

Bagi Fasa 2 pula (golongan warga emas) sebanyak 2,889,259 telah mendaftar sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala orang kurang upaya (OKU) 289,238 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau diberikan janji temu termasuk golongan komorbid; 6,324,874 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau diberikan janji temu.

“Pengagihan vaksin mengambil kira jumlah vaksin yang telah dihantar, jumlah populasi negeri dan nilai ambang di bawah Pelan Pemulihan Negara agar setiap negeri dapat beralih daripada satu fasa kepada fasa dalam tempoh masa yang tidak jauh berbeza antara negeri yang lain,” katanya seperti dipetik menerusi Twitter.

Negara telah memperoleh sumbangan vaksin sebanyak 998,400 dos vaksin AstraZeneca daripada Jepun pada 1 Julai lalu, 1,000,350 dos vaksin Pfizer daripada Amerika Syarikat (5 Julai) dan 500,000 dos vaksin Sinovac daripada China (16 Julai) dan terbaru melibatkan pemberian sejumlah 415,000 dos vaksin oleh Britain yang bakal dihantar dalam masa terdekat.

Jumlah vaksin diterima menerusi perolehan kerajaan sehingga 26 Julai lalu ialah sebanyak 23,884,920 dos 1,085,790 dos diterima pada suku pertama; 8,906,530 dos dihantar pada suku kedua dan bakinya adalah yang diterima pada bulan Julai ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya