Hantaran jelik nahas helikopter, lelaki didenda RM23,000

Hantaran jelik nahas helikopter, lelaki didenda RM23,000

MUHAMMAD SAIFUDDIN SHAFIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Padah membuat hantaran jelik berkaitan tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas hingga mengorbankan 10 pegawai dan anggota Selasa lalu, seorang pe­niaga dalam talian didenda RM23,000 oleh Mahkamah Se­syen di sini semalam.

Tertuduh, Muhammad Saifuddin Shafik, 36, juga berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dikenakan ke atas lelaki terbabit selepas mem­buat pengakuan bersalah di atas pertuduhan dibacakan juru­bahasa di hadapan Hakim Na­bisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, tertu­duh yang telah berkahwin itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Twitter menggunakan nama Saifuddin Shafik@saishafik.

Hantaran jelik itu telah dibaca di Gedung Sari Jalan Harmoni, Pusat Bandar Bagan Serai di Bagan Serai pada pukul 6.30 petang, 23 April 2024.

Pertuduhan terhadapnya di­kemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pe­­ngarah Pendakwaan Negeri, Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Amin Othman.

Terdahulu, Muhammad Sai­fuddin menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada ahli keluarga mangsa, Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat Malaysia yang ter­kesan dengan hantaran yang dilakukannya.

Menurutnya, dia amat menye­sali tingkah laku dan perbuatannya yang diakui tidak wajar dilakukan dalam keadaan negara berdepan tragedi seperti itu.

“Saya sedar semasa membuat ‘posting’ itu dan amat menyesali perbuatan saya. Tidak mungkin saya membuat (hantaran) itu sekiranya saya tidak ada (menghidap) bipolar.

“Saya ingin memohon maaf secara tulus ikhlas kepada ahli keluarga mangsa, ATM dan seluruh rakyat Malaysia. Saya amat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak wajar dilakukan oleh sesiapa pun di dalam ke­adaan tragedi seperti ini.

“Saya juga rela hati menyah­aktif akaun Twitter untuk me­ngelakkan perkara seperti ini berlaku di masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika hujahan mitigasi, Amin memberi­tahu mahkamah bahawa anak guamnya didiagnosis menghidap penyakit bipolar sejak tahun 2011 dan menerima rawatan di beberapa pusat perubatan termasuk di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam mitigasi itu juga, pihak pembelaan memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa hantaran dibuat tertuduh walaupun jelik tetapi tidak sampai menyentuh perkara 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty).

Bagaimanapun, Wan Azimah memohon hukuman setim­pal diberikan sebagai pengaja­ran kepada tertuduh dan ma­sya­rakat, meskipun terdapat ke­bebasan dalam membuat han­taran dan komen di media so­sial, ia perlulah dilakukan secara berhemah tanpa melukakan hati pihak lain.

Katanya, hukuman setimpal yang diberikan ke atas tertuduh boleh mengekang perkara sedemikian berulang dilakukan oleh pihak yang tidak dapat mengawal emosi dan perasaan.

Dalam kejadian pukul 9.32 pagi Selasa lalu, dua helikopter milik TLDM terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Nahas itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM ter­ma­suk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan Lumut dan Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah terkorban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN