600 renjer Orang Asli, bekas askar dilantik - Utusan Malaysia

600 renjer Orang Asli, bekas askar dilantik

SEKUMPULAN renjer di bawah Operasi Bersepadu Khazanah untuk program BP3 yang direkrut sejak 2019. - IHSAN Perhilitan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melantik 600 renjer dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan veteran tentera bagi melindungi hutan di Semenanjung Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kesemuanya itu dilantik di bawah program Rondaan dan Perlindungan Biodiversiti (BP3) yang dilancarkan sejak 16 Jun 2020.

“Inisiatif kementerian ini juga bagi meningkatkan bilangan yang masih lagi belum cukup selain untuk menggantikan renjer bersara, meninggal dunia atau berhenti tugas awal,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Renjer Sedunia 2021 anjuran Persekutuan Renjer Antarabangsa yang ditubuhkan pada 1992 lalu.

BP3 merupakan kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diperkenalkan pada 3 September 2019 bagi memelihara khazanah kepelbagaian hutan negara daripada pupus membabitkan kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, polis serta perbadanan taman negara di Johor dan Perak.

Pada peringkat awal, seramai 55 peserta Orang Asli dan 100 veteran askar dipilih sebagai kumpulan renjer perintis OBK kerana kepakaran dalam membanteras penjenayah di hutan.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menambah, sepanjang tahun lepas,140 pesalah ditangkap dengan nilai sitaan sebanyak RM1.85 juta dan 672 jerat juga sudah dimusnahkan.

“Pihak kerajaan akan terus mengiktiraf peranan renjer yang selama ini berkorban dalam mempertahankan sumber kekayaan alam dan khazanah semula jadi negara kita,” jelas beliau.

Sumbangan besar mereka ujarnya, turut dibuktikan apabila OBK meraih Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 pada 17 Februari lalu oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu sekali gus memberikan suntikan semangat kepada semua renjer yang banyak berjasa memastikan hutan di Malaysia terus kekal terpelihara.

Pengambilan renjer menerusi program BP3 turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Mereka amat terlatih melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan taman negara, rizab hidupan liar dan sebagainya daripada dicerobohi pemburu haram dan pembalak tanpa lesen. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.