PETALING JAYA: Meskipun amaran dikeluarkan pihak berkuasa, masih terdapat individu yang degil ‘cuba-cuba’ merentas negeri tanpa mempunyai dokumen yang sah.
Ini jelas apabila, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 5,594 kenderaan diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya (SJR), di seluruh negara.
Jumlah ini sekali gus menunjukkan peningkatan kenderaan yang ‘terlepas’ keluar berbanding sebanyak 4,666 kenderaan direkodkan kelmarin.
Memberitahu Utusan Malaysia, Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC M V Srikumar Nair berkata, secara keseluruhan, sebanyak 456,019 kenderaan yang diperiksa di SJR seluruh negara semalam.
“Selain itu, PDRM turut mengeluarkan 355 kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, sebanyak 13,177 kenderaan diarah berpatah balik selepas dikesan cuba masuk ke beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur sejak 16 Julai sehingga Ahad lalu.
Malah, PDRM turut memberi amaran tidak kompromi sebaliknya kompaun dikeluarkan serta-merta selain wajib berpatah balik kepada mereka yang melanggar SOP dengan cuba merentas negeri termasuk semasa sambutan Aidiladha semalam.
Amaran itu dikeluarkan PDRM berikutan terdapat 70,419 permohonan rentas negeri dan daerah diterima polis ketika ini.
Daripada jumlah itu, hanya 66,227 permohonan rentas negeri dengan alasan munasabah seperti kematian dan kecemasan diluluskan.
Bagaimanapun, sebanyak 4,192 permohonan ditolak sebab alasan dikemukakan tidak mengikut SOP ketika ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan dokumen yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak dibenarkan diguna untuk merentas negeri bagi tempoh 18 hingga 21 Julai.
Beliau dilaporkan berkata, ia bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebenaran surat MITI sebagai kelulusan merentas negeri untuk sambutan Aidiladha. – UTUSAN ONLINE










